Skip to main content
Berita

Mosti Fokus Hadapi Cabaran-Cabaran Negara Dan Mencari Penyelesaian Melalui Sti

By 2017-03-07Mac 10th, 2017No Comments

PUTRAJAYA, 7 Mac 2017 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bertekad untuk fokus terhadap cabaran-cabaran negara dengan mencari jalan penyelesaian melalui Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

MOSTI juga telah melaksanakan inisiatif mengadakan “Sesi Perbincangan Meja Bulat Innovators Dynamic” yang dipengerusikan oleh YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, bertujuan mengenal pasti kaedah dalam mengaplikasikan teknologi bagi mengatasi isu-isu berkaitan industri utama negara seperti isu penorehan pokok getah.

Dalam ucapan YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi di Perhimpunan Bulanan MOSTI pada hari ini, “Hasil inovasi yang mampu menyelesaikan masalah industri atau masalah komuniti hendaklah diperluaskan penggunaannya agar semua pihak boleh menikmatinya”.

YB Menteri turut menyatakan komitmennya dalam menerajui dua tema utama aspirasi TN50 iaitu sebagai peneraju idea pelbagai bentuk ekonomi terkini dan masyarakat yang saling terangkai, inovatif juga teradaptasi kepada teknologi baru.

Dalam usaha ke arah negara maju, agenda membangunkan STI akan terus dipergiat bagi memacu pembangunan ekonomi negara. Sehubungan itu, MOSTI juga akan memberi tumpuan kepada IoT, Big Data, Artificial intelligent dan seumpamanya bagi menghadapi Revolusi 4.0.

Menurut Forum Ekonomi Dunia (WEF), adalah dijangkakan sebanyak 65% daripada kanak-kanak yang masuk ke sekolah rendah pada hari ini akan bekerja dalam bidang pekerjaan yang baharu berlandaskan STEM. STEM juga telah dikenal pasti sebagai bidang yang akan membentuk modal insan negara untuk memenuhi permintaan kerjaya masa depan dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0.

YB Menteri turut mengulas lanjut mengenai fenomena semasa negara, iaitu kes pembunuhan warga Korea dan kecurian bahan radio aktif yang membuktikan bahawa kepakaran Jabatan/Agensi di MOSTI iaitu Jabatan Kimia Malaysia dan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom diperakui dan diiktiraf. Ini turut menjelaskan bahawa “sains” adalah suatu keperluan dan elemen yang sangat penting dalam kehidupan.

Dalam ucapannya juga, YB Menteri menekankan bahawa, “Tahun 2017 menjadi Year of Delivery, Tahun Penyampaian yang berjaya sekiranya mindset warga MOSTI fokus kepada penyampaian perkhidmatan, usaha, latihan, penambahan nilai dan segala-galanya untuk kebajikan rakyat”,

Dalam majlis yang sama, Kempen #MyViralVow sempena Safer Internet Day dengan warga MOSTI dilaksanakan untuk memberi kesedaran kepada pengguna internet tentang perlunya tanggungjawab dan etika ketika berkongsi sesuatu maklumat serta visual yang dilakukan secara dalam talian melalui aktiviti tular atau online viral.

Skip to content