Skip to main content
Berita

MOSTI Galak Kaedah Pembelajaran Subjek STEM Dengan Pendekatan Lebih Kreatif Dan Inovatif

20 Oktober 2022, Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menggalakkan kaedah pembelajaran subjek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) agar dilakukan dengan pendekatan yang lebih kreatif dan inovatif. Usaha berkenaan penting bagi memastikan Malaysia melahirkan lebih ramai pereka cipta berkualiti pada masa akan datang serta lebih ramai inovator tempatan yang mampu memacu ekonomi negara berasaskan inovasi.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, “Negara-negara maju mengamalkan pendekatan pembelajaran melalui experiential learning dan hands-on learning dari peringkat awal pendidikan. Pembelajaran STEM perlulah mengaplikasikan konteks dunia sebenar dan menggunakan pendekatan penerokaan terbuka.”

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di peringkat akhir Pertandingan National Science Challenge 2022 Piala Pusingan YAB Perdana Menteri anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM).

Tambah Dato’ Sri Dr. Adham, “Antara bidang fokus yang dilihat mampu menjadi game changer kepada negara ialah cetakan 4D/5D, Teknologi Biosains serta blockchain seperti yang dinyatakan di dalam Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi Malaysia (10-10 MySTIE). Penguasaan bidang secara fokus dan spesifik ini boleh dijadikan sebagai katalis dalam perkembangan teknologi seperti Internet of Things, Big Data, Virtual Reality dan Augmented Reality yang amat diperlukan dalam dunia pekerjaan pada masa hadapan selari dengan ledakan teknologi IR 4.0.”

National Science Challenge (NSC) telah diadakan sejak tahun 1999. Pada tahun ini sejumlah 3,895 pasukan telah berdaftar merangkumi 11,685 pelajar daripada seluruh Malaysia di Peringkat Awal.

Tahniah diucapkan kepada Pemenang bagi NSC 2022 iaitu SMKJ Jit Sin Pulau Pinang, manakala Naib juara disandang oleh Cempaka International School Damansara. Tempat ketiga; SMK Ave Maria Convent Perak, keempat; Pusat Genius @ Pintar Negara dan kelima; SMK Methodist Sibu.

Pemenang bagi NSC 2022 menerima Piala Pusingan Cabaran YAB Perdana Menteri, komputer riba, lawatan sambil belajar ke Jepun, Biasiswa Pendidikan ASM-NSC dan sijil pencapaian. Manakala, semua finalis yang lain akan menerima gajet IT, Biasiswa Pendidikan ASM-NSC dan sijil pencapaian.

Beberapa kategori lain turut diberikan penghargaan iaitu Anugerah Kimia Terbaik (Cheng Weng Yee, SMJK Chan Wa), Anugerah Biologi Terbaik (Muhammad Azfar Haqeem Hipeni, SMK Agama Tun Ahmad Zaidi), Anugerah Matematik Terbaik (Putri Nur Raudhah Azli, SMKA Segamat), Anugerah Fizik Terbaik (Nura Afiqah Azlan, SMK Agama Tun Ahmad Zaidi), Anugerah Komunikator STEM Terbaik (Wong Ching Wen, Pusat Genius @ Pintar Negara), Anugerah Sekolah Hijau dan Anugerah Inovasi Terbaik (Pusat Genius @ Pintar Negara).

 

DSF5820             DSF5833

DSF5847             DSF5701

DSF5730             DSF5738

 

Skip to content