Skip to main content
Berita

MOSTI Komited Untuk Memastikan Pasaran Grafit Dan Grafin Di Malaysia Mencapai Tahap Global

1 Ogos 2022, Kuala Lumpur – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba hari ini telah menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Graphjet Technology Sdn. Bhd. (Graphjet) dengan Toyoda Trike Corporation (Toyoda) dan Asia Development Capital Ltd.

Menerusi MoU ini, Toyoda yang merupakan sebuah syarikat terkemuka dari Jepun dan terkenal di peringkat antarabangsa, telah diberikan hak eksklusif untuk mengedarkan grafit dan grafin yang dihasilkan Graphjet di Jepun. Melihat kepada rekod prestasi Toyoda yang kukuh dan Jepun sebagai salah satu hab utama industri automotif, kerjasama ini dilihat akan mampu mempromosikan bahan grafin buatan Malaysia.

Syarikat Graphjet telah memulakan pendekatan yang inovatif untuk menghasilkan grafin daripada isirong sawit. Teknologi yang dipatenkan ini ialah penyelesaian yang akan memajukan pembangunan grafin. Teknologi yang menggunakan isirong sawit sebagai bahan utama dalam penghasilan grafin ini juga memberi kelebihan kepada Malaysia untuk membekalkan bahan mentah dalam penghasilan grafin memandangkan Malaysia merupakan antara pengeluar kelapa sawit terbesar dunia.

Menurut YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba, kerjasama ini dapat memberikan manfaat yang besar memandangkan Toyoda dan Graphjet adalah pemain utama dalam industri masing-masing. Ia akan memberikan pertumbuhan pendapatan yang ketara kepada kedua-dua syarikat, seterusnya memacu ekonomi Malaysia dan Jepun.

“Untuk jangka masa panjang, saya percaya bahawa pemasaran grafin yang dihasilkan Graphjet akan memberi manfaat kepada Malaysia kerana ia mempunyai potensi untuk membekalkan kepada syarikat produk grafin tempatan di bawah program ‘Graphenovation’ dan membolehkan Malaysia menjadi salah satu pengeksport grafin di dunia suatu hari nanti. Selain itu, ia juga akan menjadi penggalak kepada syarikat yang ingin memanfaatkan potensi besar grafin untuk melabur di Malaysia,” katanya.

Tambahnya lagi, “Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut menyarankan agar Graphjet menjalin kerjasama dengan NanoMalaysia Berhad (NMB) terutamanya dalam rantaian bekalan dan pembangunan produk hiliran dan aplikasi dengan grafin, selain mendapatkan pensijilan GrapheneVerify untuk produk bagi mengukuhkan kehadirannya dengan pengiktirafan domestik dan antarabangsa.”

Skip to content