Skip to main content
Berita

MOSTI Lancar Myhackathon 2022 – KOHORT 2

22 November 2022, Sarawak – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengumumkan kesinambungan program yang memfokuskan kepada penyelesaian masalah di peringkat Kementerian dan agensi Kerajaan menerusi cetusan idea dan inisiatif berinovasi melalui program MYHackathon 2022 – Kohort 2.
Dilaksanakan oleh Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle), sebuah agensi di bawah MOSTI, MYHackthon 2022 – Kohort 2 merupakan lanjutan acara MYHackathon 2022 – Kohort 1 yang diadakan pada bulan Julai yang lalu dan adalah satu daripada inisiatif di bawah program MYStartup. Program ini menyasarkan penyertaan dan penglibatan daripada syarikat-syarikat startup, pembangun perisian, pengekod dan individu yang berkemahiran dalam bidang teknologi untuk bersama-sama membantu pihak Kerajaan dalam menghasilkan solusi kepada pernyataan masalah yang dikemukakan sekali gus meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan dalam ucapan perasmiannya berkata, “MYHackathon 2022 – Kohort 2 merupakan antara peluang terbaik untuk syarikat-syarikat startup, PKS mahupun individu menawarkan penyelesaian digital bagi menambah baik kualiti penyampaian Kerajaan, seterusnya mengetengahkan idea dan inovasi masing-masing untuk dikomersialkan.”
Mengekalkan tema ‘Hackathon Nasional Untuk Malaysia Yang Inklusif’, kohort kedua program ini secara rasminya telah bermula pada hari pelancaran sehingga 28 November dengan jumlah penyertaan terkini sebanyak 130.
Bagi kohort kedua, terdapat lima (5) pernyataan masalah telah dikemukakan oleh pihak kementerian dan agensi Kerajaan iaitu:
1️⃣ Pernyataan Masalah: Solusi pengurusan digital membantu meningkatkan budaya
membaca murid dari pelbagai kategori.
Kementerian / Agensi / Jabatan: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
2️⃣ Pernyataan Masalah: Solusi membantu memantau kesihatan pesakit buah pinggang kronik (Chronic Kidney Disease atau CKD) secara menyeluruh.
Kementerian / Agensi / Jabatan: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
3️⃣ Pernyataan Masalah: Solusi teknologi untuk memupuk amalan hijau melalui kebun
komuniti, pengurusan 3K dan sistem ganjaran ke arah meningkatkan kualiti persekitaran yang bersih, indah dan sejahtera
Kementerian / Agensi / Jabatan: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)
4️⃣ Pernyataan Masalah: Solusi digital untuk komunikasi dan capaian maklumat bersepadu dan komprehensif untuk keperluan komuniti.
Kementerian / Agensi / Jabatan: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ)
5️⃣ Pernyataan Masalah: Solusi teknologi untuk menangani konflik manusia dan
hidupan liar di kawasan sektor agromakanan.
Kementerian / Agensi / Jabatan: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI)
“Kohort kedua program MYHackathon 2022 setakat ini berjaya mendapatkan 130 pendaftaran penyertaan daripada syarikat pelbagai bidang yang akan menyaksikan para peserta bekerjasama dengan Kementerian-kementerian dan agensi Kerajaan terpilih bagi mengetengahkan penyelesaian atau solusi untuk pernyataan masalah yang ditampilkan. Tarikh tutup penyertaan bagi kohort kedua ini akan berakhir pada 28 November 2022 kelak.” kata YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan.
MOSTI percaya peranan yang dimainkan oleh teknologi dan inovasi serta barisan
startup yang kreatif adalah besar dan mampu memberi penyelesaian bernas kepada
isu-isu yang dihadapi oleh Kementerian dan agensi Kerajaan ini.
Bagi MYHackathon 2022 – Kohort 2, para pemenang bakal menerima geran
permulaan bernilai sehingga RM250,000.00 untuk melaksanakan pembangunan projek rintis serta berpeluang mendapatkan bimbingan pelaksanaan projek secara
one-to-one selama 12 bulan.
Kohort pertama MYHackathon 2022 telah menyaksikan lima (5) pemenang dipilih bagi
setiap pernyataan masalah yang dikemukakan dan kesemua pemenang sedang
menjalani sesi bimbingan lanjutan seiring dengan pembangunan projek rintis masing-masing selama 12 bulan.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai ekosistem startup Malaysia, program-program yang bakal dianjurkan Cradle dan juga maklumat berkaitan para startup, pelabur, pemain industri dan pembina ekosistem, sila layari dan mendaftar di platform
MYStartup di www.mystartup.gov.my.
Skip to content