Skip to main content
Berita

MOSTI Perkasa Agenda STI: Malaysia Techlympics 2025 Cipta Rekod Penyertaan Belia

10 November 2025, Melaka – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menganjurkan acara kemuncak Malaysia Techlympics 2025 Peringkat Akhir Kebangsaan di Melaka International Trade Centre (MITC), Melaka dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka.

Majlis Perasmian Penutupan disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Utama Ab. Rauf bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka dan turut dihadiri oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Menurut YB Tuan Chang Lih Kang, Malaysia Techlympics merupakan inisiatif utama MOSTI dalam membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 bagi melahirkan bakat teknologi berdaya saing.
MOSTI juga komited memastikan generasi muda bersedia menghadapi masa depan yang dipacu teknologi, termasuk dalam bidang kecerdasan buatan (AI), katanya lagi.
Penganjuran kali ini mencatat lebih 1.8 juta penyertaan termasuk peserta antarabangsa dari Indonesia, Thailand, Kemboja, China dan Mongolia, sekali gus menjadi jumlah tertinggi sejak program ini diperkenalkan.
Malaysia Techlympics 2025 turut mencipta dua rekod Malaysia Book of Records (MBOR) bagi Penyertaan Terbesar dalam Pertandingan STEM Belia dan Bilangan Dron Terbanyak Diterbangkan Serentak di Dalam Bangunan.
Program ini menampilkan pelbagai cabaran sains dan teknologi seperti dron, robotik, pengaturcaraan dan kecerdasan buatan (AI), seiring aspirasi Kerajaan MADANI dalam membina masyarakat berpengetahuan, inovatif dan berdaya saing.

Turut hadir sama, YB Datuk Haji Rais bin Datuk Wira Yasin, EXCO Kanan Perumahan,Kerajaan Tempatan Saliran, Perubahan Iklim & Pengurusan Bencana Negeri Melaka, YB Datuk Fairul Nizam bin Roslan, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Melaka, YBhg. Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam bin Hj Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Dato’ Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, YBrs. Puan Norsham binti Abd Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, Ahli Mesyuarat MEXCO serta pengurusan tertinggi kementerian termasuk guru dan peserta terlibat.

Skip to content