Skip to main content
Berita

MOSTI Tekankan Kepentingan ArtScience dalam Pembangunan Bakat Masa Depan

24 November 2025, Kuala Lumpur – YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menyempurnakan Majlis Anugerah ArtScience 2025 anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM) yang berlangsung di Pusat Sains Negara.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa ArtScience merupakan platform penting dalam membangunkan bakat kreatif dan inovatif yang diperlukan negara untuk menghadapi masa depan yang semakin kompleks. Menurut beliau, Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 memberi penekanan kepada inovasi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat, manakala Kerangka 10-10 MySTIE mengiktiraf seni, budaya dan pelancongan sebagai pemacu sosioekonomi melalui pembangunan kandungan kreatif berasaskan teknologi.
Beliau turut menyatakan bahawa integrasi seni dan sains adalah kunci dalam menangani cabaran semasa melalui pendekatan transdisiplin yang menggabungkan imaginasi dan bukti — selaras dengan tumpuan Rancangan Malaysia Ke-13 untuk melahirkan bakat masa depan yang kreatif, tangkas dan adaptif. Bertemakan “Transforming the Future of Arts: AI Meets Sustainability”, program ini menekankan keperluan melahirkan generasi yang mampu memanfaatkan teknologi secara bertanggungjawab dan lestari, dengan menggabungkan empati seni serta ketelitian sains demi kesejahteraan manusia dan planet.
ArtScience turut memperkasa peserta melalui bengkel, sesi bimbingan dan rangkaian bersama pakar industri, sekali gus mempercepat perjalanan idea daripada konsep kepada pelaksanaan yang memberi nilai sosial dan ekonomi. Anugerah ArtScience Prize 2025 dimenangi oleh YBrs. Dr Muhammad Fauzan Abu Bakat dan Encik Mohd Rathi dari Universiti Teknologi MARA Cawangan Sarawak. Karya mereka bertajuk “The Unforgettable Tales” telah membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, trofi, sijil serta geran perjalanan.
Turut hadir, Yang Mulia Akademik Datuk Dr. Tengku Mohd Azzman Shariffadeen, Presiden Akademi Sains Malaysia merangkap Penasihat STI kepada Perdana Menteri dan Negara; YBrs. Profesor Kanan Dr. P’ng Tean Hwa FASc, mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Inisiatif ASM ArtScience; YBrs. Puan Hazami Habib, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains Malaysia, PYT Maria Angela Abrera Ponce, Duta Besar Republik Filipina serta delegasi jemputan dari kedutaan Timor Leste, Jepun dan Mesir termasuk para peserta yang terlibat.
Skip to content