Skip to main content
Berita

MRANTI AI Connect 2025: Sabah Edition

10 November 2025, Kota Kinabalu – YB Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah merasmikan MRANTI AI Connect 2025: Sabah Edition yang berlangsung di Hotel Marriott, Kota Kinabalu, Sabah.

Program anjuran Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) ini merupakan platform strategik yang menghimpunkan kerajaan, industri, akademia dan komuniti inovasi bagi memperkasa ekosistem kecerdasan buatan (AI) di Malaysia khususnya di Sabah.
Sabah memiliki kekuatan tersendiri melalui kekayaan sumber semula jadi, kepelbagaian budaya serta potensi pelancongan yang luar biasa. Dalam suku pertama tahun ini sahaja, Sabah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM10.9 bilion, menjadikannya negeri ketiga tertinggi di Malaysia selepas Selangor dan Kuala Lumpur dan ini bukti jelas terhadap keyakinan pelabur terhadap daya saing dan kesiapsiagaan Sabah menuju era ekonomi digital.
Menurut Dato’ Dr. Mohammad Yusof, AI berpotensi besar untuk mempercepat kemajuan Sabah dalam tiga sektor utama:
1. Pertanian – melalui teknologi ramalan hasil tanaman, pengesanan penyakit dan sistem rantaian bekalan pintar;
2. Pelancongan dan industri kreatif – dengan penggunaan analitik data, sistem cadangan pintar dan naratif digital interaktif;
3. PKS dan pembuatan – melalui automasi, pemeriksaan kualiti berasaskan AI serta peningkatan kecekapan operasi.
Dengan pelaburan digital negara kini mencecah RM16.2 bilion dan Malaysia berada di tangga kedua tertinggi di ASEAN dari segi kesiapsiagaan AI, Sabah mempunyai peluang besar untuk muncul sebagai peneraju transformasi kecerdasan buatan serantau.
MOSTI komited untuk terus memperkukuh kolaborasi dengan kerajaan negeri dan rakan industri bagi memastikan penerapan teknologi AI bukan sahaja meningkatkan produktiviti dan daya saing ekonomi Sabah, tetapi juga memperkasa kesejahteraan rakyat melalui inovasi yang inklusif dan mampan.
Skip to content