Skip to main content
Berita

MRANTI Jalin Kerjasama Dengan Sunway Untuk Sandbox Bandar Pintar

21 Jun 2022, Bandar Sunway – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui agensi di bawahnya Malaysia Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) hari ini menandatangani sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sunway Innovation Labs (iLabs) untuk Sandbox Bandar Pintar menerusi National Technology and Innovation Sandbox (NTIS).

NTIS yang diterajui MOSTI membolehkan penyelidik, penggerak inovasi, startups dan usahawan berteknologi tinggi menguji produk, teknologi atau perkhidmatan dalam persekitaran yang sebenar dan terkawal melalui kemudahan pembiayaan atau fasilitasi regulatori yang berkaitan. Ini bertujuan untuk mempercepatkan pengadaptasian serta penggunaan teknologi dan inovasi tempatan terutamanya teknologi terkehadapan (advanced technology).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba berkata, Kerajaan melihat pewujudan bandar pintar sebagai salah satu pendekatan untuk meningkatkan kualiti hidup, menggalakkan pertumbuhan ekonomi, membangunkan persekitaran yang mampan dan selamat serta menggalakkan pengurusan lebih cekap di kawasan bandar.

“Menurut laporan Dasar Perbandaran Negara Kedua, jumlah penduduk Malaysia yang tinggal di bandar dijangka meningkat daripada 20.29 juta pada tahun 2010 kepada 27.30 juta menjelang tahun 2025. Kini, dianggarkan lebih 70% daripada penduduk di negara ini tinggal di kawasan bandar. Dengan wujudnya bandar pintar dalam negara ini akan membolehkan penggunaan teknologi yang dibangunkan oleh bakat tempatan melalui inisiatif MOSTI seperti NTIS untuk membantu pihak berkuasa dalam menangani isu-isu perbandaran dan meningkatkan kualiti hidup,” katanya.

Kerjasama ini akan membolehkan para peserta dihubungkan dengan ekosistem Sunway yang terdiri daripada 13 bahagian perniagaan dan menguji inovasi syarikat tersebut di Bandar Sunway Kuala Lumpur, sebuah bandar pintar lestari.

Usaha ini dilihat mampu menjadikan Bandar Sunway Kuala Lumpur sebagai makmal alami (living lab), membawa masuk bakat muda, tenaga intelektual, kepakaran penyelidikan, makmal inovasi dan aktiviti komersial untuk menjana penyelesaian sebenar di kawasan bandar pada masa hadapan di samping membawa penambahbaikan kepada alam sekitar dan masyarakat.

Hadir sama YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Tekbologi) MOSTI dan YBrs. Puan Dzuleira Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI.

Skip to content