Skip to main content
Berita

MYStartup NXT

25 November 2023, Sabah – MYStartup NXT, siri persidangan mikro oleh MYStartup telah melabuhkan tirai bagi tahun 2023 dengan persinggahan keempat di Kota Kinabalu, Sabah selepas menjayakan beberapa siri dengan melibatkan startup di Cyberjaya, Kuching dan Pulau Pinang.
Program MYStartup NXT yang dijalankan oleh Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle), iaitu agensi focal point bagi startup Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ini bertujuan untuk memupuk sebuah ekosistem negara yang inklusif, berkesan dan mampan.
Persinggahan di Kota Kinabalu yang dijalankan bersama Pusat Kreatif Ekonomi dan Inovasi Sabah (SCENIC) ini telah menarik lebih daripada 250 peserta dengan menawarkan sesi perkongsian mengenai pendanaan, pengesahan perniagaan, pemupukan bakat baharu dalam bidang teknologi serta rahsia kejayaan untuk menembusi pasaran global.
Selain daripada sesi yang menampilkan pemain ekosistem tempatan seperti SCENIC, SynxSoft, CoreHalal dan AgriData, program ini juga menawarkan peluang rangkaian serta sesi perkongsian khas, ‘What’s Up Grant’, mengenai geran yang ditawarkan oleh Cradle, iaitu CIP SPARK dan CIP SPRINT. MYStartup NXT juga memberi peluang kepada pakar industri dan pengasas-pengasas tempatan untuk berkongsi perjalanan pernigaan mereka serta cara-cara untuk mengubah idea menjadi realiti.
“MYStartup akan terus memperkasakan startup di Sabah dan membantu mereka mengatasi cabaran dalam meningkatkan modal, pembinaan bakat baharu serta kekangan infrastruktur. Saya yakin landskap startup di Sabah akan terus berkembang dan menjadi penggerak bagi pertumbuhan ekonomi dan kemajuan sosial negara. Di MOSTI, kami akan terus berusaha untuk memastikan Malaysia mampu mencapai potensi penuh dalam menjadi hab inovasi, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI,” kata YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
MYStartup NXT, dengan kerjasama rakan kongsi tempatan, rakan korporat dan penaja, telah berjaya menarik lebih daripada 800 peserta daripada pelbagai latar belakang. Melalui sesi Venture Connect juga, MYStartup telah membantu menghubungkan lebih daripada 100 pengasas dengan pelabur tempatan dan serantau, termasuk Malaysia Venture Capital Management (MAVCAP), Vertex, Malaysian Business Angel Network (MBAN), Khazanah Nasional dan lain-lain.
Selain daripada MYStartup NXT, sebanyak 3,828 startup telah mendapat manfaat melalui program pembinaan kapasiti seperti program pemecut (accelerator), prapemecut (pre-accelerator) dan hackathon di bawah Cradle.
Tahun ini, empat (4) graduan program pemecut terbaik telah mendapat akses eksklusif ke program akses pasaran MYStartup dan berjaya memperoleh pembiayaan sebanyak RM675,000.
Tambahan lagi, bilangan startup yang berdaftar di Sabah juga telah meningkat lebih daripada 40% berbanding tahun lepas, dan ini menggambarkan pencapaian baik MYStartup di Sabah.
MYStartup NXT akan kembali dengan destinasi dan perkongsian baharu pada tahun 2024. Untuk maklumat lanjut mengenai MYStartup NXT, sila layari www.mystartup.gov.my.
Skip to content