23 April 2024, Kuala Lumpur – Dalam usaha untuk mengemudi landskap syarikat pemula (startup) di Malaysia dan menggalakkan pertumbuhan ekosistem yang ‘scalable’, inklusif dan mampan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan agensinya, Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) melancarkan platform MYStartup sebagai Tetingkap Tunggal (Single Window) bagi ekosistem startup di Malaysia. Platform itu dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) dan akan berfungsi sebagai platform sehenti yang menghubungkan semua pihak berkepentingan dalam ekosistem startup di negara ini.
MYStartup Single Window direka untuk memupuk kerjasama, inovasi dan jangkauan global, menawarkan maklumat yang teratur kepada pengasas, pelabur dan bakat teknologi seperti;
a) pencerahan dan sumber maklumat mengenai permulaan dan perkembangan startup;
b) pangkalan data menyeluruh tentang semua startup di Malaysia dan firma modal teroka, mengandungi maklumat penting tentang pembiayaan, butiran perniagaan dan status pengumpulan dana aktif yang dikemaskini secara berkala; dan
c) MYStartup AI: pertanyaan berkaitan ekosistem startup Malaysia. Ciri-ciri baharu ini membolehkan proses lancar dan teratur yang memantapkan kecekapan dan keberkesanan serta mengurangkan birokrasi.
Dalam ucapan perasmian YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, beliau menegaskan komitmen Kerajaan untuk memupuk perniagaan yang lancar di mana setiap usahawan startup boleh berkembang dan berdaya saing.
“Startup di Malaysia bukan hanya sekadar angka, ekosistem ini akan terus berkembang dengan hampir 4,000 startup yang merupakan nadi inovasi dengan penilaian keseluruhan melebihi USD5 bilion sehingga kini. Oleh itu, pelancaran platform MYStartup sebagai Single Window merupakan asas penting dalam perancangan strategik bagi mendorong Malaysia terus maju ke hadapan dan menjadikan negara ini salah sebuah ekosistem startup terbaik dunia. Platform ini dilengkapi dengan teknologi AI dan akses yang lancar kepada pelbagai data tentang startup, pencerahan dan analisis, serta sumber yang menyokong perkembangan startup,” kata YB Tuan Chang Lih Kang.
Pada tahun 2021, MOSTI melancarkan Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030 untuk memartabatkan Malaysia sebagai salah satu ekosistem startup terbaik dunia menjelang tahun 2030, menyasarkan 5,000 startup yang mampu berdaya saing menjelang tahun 2025.
“MYStartup telah memupuk pertumbuhan ini dengan baik. Jumlah kapital yang terkumpul dari 2019 hingga 2024 adalah sebanyak USD1.6 bilion, dengan 438 perjanjian dibuat. Aspirasi Kerajaan adalah untuk MYStartup menjadi platform pilihan yang akan memanfaatkan setiap pemegang taruh dalam ekosistem dan berfungsi sebagai gerbang utama kepada persekitaran startup yang dinamik dan berkembang maju di Malaysia,” tambah YB Tuan Chang Lih Kang.
MYStartup Single Window dilancarkan pada hari ini sempena KL20 Summit 2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Hadir sama YB Datuk Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI dan Norman Matthieu Vanhaecke, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle.
Sejak pelancarannya pada tahun 2022, portal MYStartup telah berjaya menarik lebih daripada 140,000 pengunjung dari seluruh dunia. Jumlah pengguna berdaftar MYStartup mencecah hampir 7,000, serta telah menghubungkan hampir 4,000 startup.
Untuk matlumat lanjut mengenai platform MYStartup, layari www.mystartup.gov.my.