Skip to main content
Berita

NanoMalaysia Terajui Pembangunan Dan Pengkormersialan Sistem Penyimpanan Tenaga

By 2021-11-24November 29th, 2021No Comments
24.11.2021, Selangor – Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba hari ini telah melancarkan Program Inisiatif Teknologi Penyimpanan Tenaga Nasional (NESTI) iaitu platform perintis peringkat kebangsaan dalam usaha membangun dan mengkomersialkan sistem penyimpanan tenaga untuk mobiliti elektrik, kegunaan di dalam sektor domestik dan industri serta penyelesaian mudah alih. Di terajui oleh MOSTI dengan NanoMalaysia Berhad (NMB) sebagai agensi pelaksana, pelancaran ini melambangkan fokus kementerian kepada pembangunan ekonomi yang seimbang dan kelestarian mobiliti.
Pertumbuhan mobiliti bandar yang pesat, yang dijangka akan terus meningkat di masa hadapan, berpotensi menjejaskan ekonomi dari segi produktiviti dan meningkatkan pencemaran jika tidak dikawal. Bagi menangani masalah ini, MOSTI telah mengenal pasti sistem penyimpanan tenaga bagi mobiliti elektrik, grid lebihan dan tenaga boleh diperbaharui yang menggunakan sumber karbon yang mampan.
Menurut YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, “MOSTI sentiasa mencari penyelesaian berasaskan sains, teknologi dan inovasi (STI) untuk memudah dan menaik taraf kehidupan rakyat. Penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan penginovasian (R&D&C&I) dalam teknologi storan tenaga ini memberi impak sampingan (spin-offs) yang positif kepada perniagaan mikro dan kegunaan peribadi seperti bateri, ultra kapasitor, storan hidrogen dan reaktor, sistem pengurusan tenaga dan kitar semula bateri.”
NESTI juga memudahcara transformasi ke arah penggunaan mobiliti elektrik yang lebih meluas dalam kalangan warga Malaysia selaras dengan sasaran Neutral Karbon 2050. “NanoMalaysia merupakan agensi pelaksana dan pemantau yang telah dilantik untuk Dana Penyelidikan Strategik (SRF) untuk program Enabling Mobility Electrification for Green Economy (EMERGE) di mana dua projek di bawah NESTI ini akan dibangunkan dalam melengkapkan ekosistem teknologi tenaga boleh diperbaharui dan penyimpanan tenaga dengan penyertaan daripada industri, komuniti penyelidik dan pengguna akhir,” tambah YB Dato’ Sri Dr. Adham.
Pada majlis yang sama, satu demonstrasi kenderaan elektrik bertenaga sel yang pertama untuk kegunaan di dalam industri sukan permotoran di Malaysia, telah diadakan. Kereta Lumba Elektrik Berkuasa Hidrogen (HyPER) ini dikuasai oleh Sistem Penyimpanan Tenaga Hidrogen dan Hibrid NanoMalaysia (H2SS), yang berpotensi untuk memacu sektor automotif dan pengangkutan Malaysia menuju ke arah industi tenaga boleh diperbaharui, khususnya tenaga hidrogen hijau.
H2SS adalah gabungan sistem penyimpanan tenaga hibrid dengan bateri lithium ion (Li-Ion) dan ultracapacitor berasaskan graphene, serta susunan sel bahan api dengan sistem penjanaan hidrogen. Penggunaan penjanaan hidrogen di dalam sistem H2SS ini membolehkan ketumpatan kuasa yang lebih tinggi dan pengecasan pantas berbanding kenderaan berasaskan Li-Ion konvensional.
Pelancaran NESTI dan HyPER hari ini menjadi bukti kesediaan MOSTI dan NanoMalaysia untuk mengambil bahagian dalam sektor teknologi tenaga lestari bagi memastikan pembangunan sosio-ekonomi yang seimbang.
Skip to content