8 November 2023, Putrajaya – YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini melancarkan National Biotechnology Symposium (NBS) 2023 yang bertemakan “Catalyzing Biotechnology for Food Security.” NBS 2023 merupakan anjuran National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM), dengan kerjasama rakan kongsi yang terdiri daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Bioeconomy Corporation (BEC), UCSI University, Akademi Sains Malaysia (ASM), dan SIRIM Berhad.
Majlis ini telah mempertemukan para saintis, penyelidik, pelajar, pemain industri, dan pihak berkepentingan lain yang komited dalam kajian bioteknologi dan sekuriti makanan. Simposium dua hari itu menarik golongan profesional dari universiti, agensi, dan industri di seluruh dunia, termasuk peserta dari Kemboja, Filipina, dan Singapura.
YB Chang Lih Kang dalam ucapan perasmiannya menekankan kepentingan menangani cabaran sekuriti makanan global, sejajar dengan prinsip Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0). Pertumbuhan penduduk global telah meningkatkan tekanan ke atas pertanian akibat perubahan iklim dan batasan sumber sekali gus menjadikan sekuriti makanan sebagai satu kebimbangan mendesak. Kebimbangan ini telah mendorong kepada permintaan yang besar bagi bioteknologi untuk menyediakan penyelesaian inovatif, meningkatkan hasil tanaman, meningkatkan daya tahan tanaman, mengurangkan kerugian selepas penuaian, meningkatkan kualiti tanah, dan lain-lain.
Pada masa yang sama, YB Chang Lih Kang turut melancarkan BioAlliance, satu rangkaian kerjasama yang dibentuk di kalangan penyelidik, pembina, pengamal, industri dan pengguna teknologi berasaskan bio. Ia diasaskan atas kepentingan bersama, ciri-ciri, dan objektif bersama. BioAlliance memupuk jaringan merentasi sempadan geografi untuk mencapai matlamat dan faedah bersama. BioAlliance kini memberi tumpuan kepada bidang tertentu seperti Makanan Untuk Masa Depan, MyGenom, MyNature, Vaksin Manusia, Bioetika dan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF).
Semasa simposium tersebut, berlaku pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara NIBM dengan beberapa institusi dan syarikat. Ini termasuk Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Manipal International University, UCSI University, GK Aqua Sdn. Bhd., AGTC Genomics, iHealth Lifesciences Sdn. Bhd., Lembaga Lada Malaysia dan Halagel (M) Sdn. Bhd. MoU ini memudahkan pelbagai aktiviti dan usaha kerjasama, seperti permohonan geran bersama, penerbitan penyelidikan, menganjurkan persidangan bersama, kerjasama perkhidmatan teknikal, dan pemindahan teknologi.
Selaras dengan objektif DBN 2.0, National Biotechnology Symposium 2023 bertujuan untuk mewujudkan platform yang diperluaskan kepada saintis, pelajar dan rakan usaha sama industri untuk bertukar-tukar pandangan dan minat dalam menangani cabaran sekuriti makanan melalui bioteknologi. Aspirasi ini adalah untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah Negara bio-inovasi canggih yang ditandai dengan kemajuan, kemakmuran, keterangkuman, dan kemampanan melalui kerjasama kolektif semua pihak berkepentingan.