Skip to main content
Berita

PAMERAN MOSTI SEMPENA PESTA JAGUNG DAERAH KOTA MARUDU 2012

By 2012-11-11Mac 10th, 2017No Comments

 

Kota Marudu, 11 November  2012 – Pesta Jagung Daerah Kota Marudu kali ke-12 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam disambut dalam suasana harmoni dan meriah. Pesta jagung yang merupakan acara tahunan di daerah ini bertujuan untuk menonjolkan dan mempromosikan jagung serta lain-lain produk pertanian ini dirasmikan oleh YB Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap ahli Parlimen P168  Kota Marudu hari ini.
Pelbagai program pembangunan telah dilaksanakan untuk menjadikan Kota Marudu sebagai hab ekonomi di kawasan Utara Negeri Sabah. YB. Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili dalam ucapan perasmiannya memberitahu bahawa salah satu projek utama ekonomi yang sedang dalam perancangan yang juga akan memberi manfaat kepada penduduk Kota Marudu adalah projek akuakultur ternakan udang di Pitas, satu projek di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKRA)
Kilang tersebut yang akan mengeksport udang ke beberapa negara seperti Korea, Jepun dan China, dijangka memerlukan 1,000 pekerja seterusnya akan menyumbang kepada pengwujudan peluang pekerjaan kepada penduduk Kota Marudu. Projek ini juga akan memerlukan jagung sebagai sumber protein untuk makanan, sekali gus menyediakan satu lagi punca pendapatan bagi petani di daerah ini.
Sementara itu, seperti mana tahun-tahun yang lepas MOSTI turut tidak terkecuali mengambil bahagian dalam pameran yang diadakan. Pada kali ini sebanyak 10 jabatan/agensi MOSTI yang turut serta dengan mempamerkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang kreatif dan inovatif. Jabatan/agensi yang mengambil bahagian ialah Agensi Remote Sensing Malaysia, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Kimia Malaysia, Agensi Nuklear Malaysia, Pusat Sains Negara, Yayasan Inovasi Malaysia, .my DOMAIN Registry, Technology Park Malaysia, SIRIM Berhad dan CyberSecurity Malaysia.
Antara produk inovasi yang menarik perhatian ramai ialah Mesin Perahan Minyak Kelapa Dara yang telah dibangunkan oleh Technology Park Malaysia, sebuah agensi di bawah MOSTI. Mesin tersebut dijangka akan memberi manfaat yang besar kepada masyarakat terutamanya para petani yang mengusahakan penanaman kelapa.

Bersempena dengan Pesta Jagung ini juga, Dr Ongkili turut melancarkan Penggerak Inovasi 1Malaysia (1Malaysia Innovation Catalysts) atau lebih dikenali sebagai  “i-CATS” peringkat Negeri Sabah iaitu program yang melibatkan para belia sukarelawan di bawah Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) yang akan bertindak sebagai agen penyebar budaya inovasi di kalangan masyarakat Malaysia.Sepanjang tempoh dua hari pesta berlangsung juga, pelbagai acara kebudayaan, sukan rakyat, persembahan pentas Rakyat 1Malaysia, Pertandingan Ratu Jagung dan pameran oleh agensi kerajaan dan swasta serta pameran rumah-rumah tradisional telah diadakan bagi menarik lebih ramai pengunjung bertandang.

Skip to content