Skip to main content
Berita

PELAJAR SMK KUALA BESUT MUNCUL JUARA PERINGKAT DUNIA DALAM IAEA INTERNATIONAL STUDENTS COMPETITION

Pasukan KuBest Smart Innovation dari SMK Kuala Besut, Terengganu telah melakar sejarah yang membanggakan bagi Malaysia apabila berjaya menjuarai IAEA International Students Competition melalui penciptaan Aplikasi “100 Things About Nuclear Science and Life” iaitu aplikasi permainan komputer untuk mempromosikan sains nuklear.


Pasukan yang terdiri daripada tiga (3) orang pelajar iaitu Adik Muhammad Syazwan Mat Sidik, Adik Muhammad Anuar Abd Ghani dan Adik Safyyah Muhammad Nasir telah dinobatkan sebagai juara peringkat dunia selepas berjaya menumpaskan empat (4) buah pasukan lain dari negara Amerika Syarikat, Hungary, Jepun dan Korea dalam pertandingan peringkat akhir.

 

IAEA International Students Competition yang diadakan di Gyeongju, Korea pada 31 Mei 2018 ini adalah anjuran International Atomic Energy Agency (IAEA) bersempena dengan Third International Conference on Human Resource Development for Nuclear Power Programmes: Meeting Challenges to Ensure the Future Nuclear Workforce Capability. Pertandingan ini dianjurkan dengan matlamat untuk memupuk minat sains dan teknologi nuklear dalam kalangan pelajar sekolah menengah. Pertandingan ini mula dibuka penyertaannya pada penghujung 2017 dan telah menerima sebanyak 188 penyertaan dari pelbagai negara.


Syabas dan tahniah diucapkan kepada Pasukan KuBest Smart Innovation, Encik Wan Zul Azri Wan Mohd Shatar (Guru Pengiring), guru-guru lain yang telah menyumbang dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan usaha ini. Semoga kejayaan ini akan menjadi pemangkin kecemerlangan dalam pendidikan sains, teknologi, kejuteraan dan matematik (STEM) pada masa akan datang. 


Skip to content