Skip to main content
Berita

Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara Serta Penubuhan Institut Genom dan Vaksin Malaysia Memantapkan Ekosistem Vaksin Negara

By 2021-11-01Februari 22nd, 2022No Comments
1 November 2021, Selangor – YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) serta Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) iaitu inisiatif kerajaan untuk memantapkan ekosistem pembangunan vaksin negara.
YAB Dato’ Sri Ismail Sabri berkata, “Menerusi PPVN, Malaysia mampu mencorak laluan dalam mengeluarkan produk vaksin sendiri yang berkualiti, berkesan dan selamat mengikut syarat yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara sekali gus menjadi hab pengeluar vaksin dan meningkatkan keyakinan terhadap penggunaan vaksin.”
Melalui pelaksanaan PPVN dan penubuhan MGVI, modal insan berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang penyelidikan terutamanya yang berkaitan kesihatan dan vaksin akan dapat dilahirkan. Lebih banyak peluang pekerjaan akan dapat diwujudkan untuk Keluarga Malaysia yang dapat meningkat taraf hidup dan kesihatan rakyat.
Pembangunan vaksin tempatan tidak terhad kepada hanya penghasilan vaksin COVID-19 ketika ini akan tertumpu kepada vaksin kolera, kanser kepala dan leher (head and neck cancer) serta COVID-19. Sebagai negara pengeluar vaksin, Malaysia akan mempunyai autonomi terhadap perolehan bahan dan cara pengeluaran vaksin.
Sementara itu, menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, “PPVN menetapkan pengeluaran vaksin dalam 2 fasa iaitu dalam jangka masa pendek iaitu selama 1 hingga 5 tahun dan jangka masa panjang yang mengambil masa 5 hingga 10 tahun. Pembangunan vaksin ini bertujuan untuk menghasilkan vaksin manusia untuk kegunaan dalam negara terutama bagi kesemua vaksin dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk memastikan negara bersedia menghadapi sebarang ancaman pandemik pada masa hadapan”.
Rangka Kerja PPVN dibahagikan kepada 6 bidang keutamaan iaitu tadbir urus, infrastruktur pembuatan vaksin, kajian klinikal, pembangunan modal insan, perolehan teknologi dan pembangunan vaksin serta komunikasi vaksin.
Tadbir urus MGVI ini akan diketuai dan dipusatkan di bawah Institut Bioteknologi Kebangsaan (NIBM), agensi di bawah MOSTI. Manakala, aktiviti penyelidikan akan dilaksanakan secara di fasiliti terdesentralisasi (decentralised facilities) bersama 4 pusat kecemerlangan iaitu Pusat Kecemerlangan Penemuan Vaksin, Pusat Kecemerlangan Kajian Pra-klinikal, Pusat Kecemerlangan Kajian Klinikal dan Pusat Kecemerlangan Pembangunan Proses untuk memanfaatkan kemampuan, kepakaran dan kemudahan yang sedia ada.
Pelancaran PPVN dan MGVI ini turut di hadiri YB Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi dan YB Datuk Ahmad Amzad Hashim, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Skip to content