13 April 2026, Semenyih – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah menyempurnakan Majlis Peluncuran Program Minggu Sains Negara (MSN) 2026 yang dikenali sebagai “Road to MSN 2026” di University of Nottingham Malaysia.
Menurut YB Datuk Chang Lih Kang, pembangunan bakat teknologi tempatan kini menjadi semakin kritikal bagi memastikan Malaysia bukan sahaja berperanan sebagai pengguna teknologi, malah sebagai pencipta teknologi. Usaha ini penting bagi memperkukuh kedaulatan teknologi negara serta mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar dalam sektor strategik.
MSN 2026 menyasarkan penyertaan seramai 1.15 juta rakyat Malaysia di seluruh negara bagi melahirkan bakat berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri serta menyokong aspirasi Ekonomi MADANI.
Strategi pelaksanaan program ini dibahagikan kepada tiga fasa utama :
MOSTI turut menekankan pendekatan interaktif dan hands-on melalui pameran serta aktiviti eksperimen langsung bagi menarik minat pelajar terhadap bidang STEM. Penganjuran ini diperkukuh melalui kolaborasi strategik bersama Rakan MySains dan institusi pendidikan tinggi (IPT) terpilih seperti Pusat Sains Negara, Planetarium Negara, Petrosains dan Tech Dome Penang bagi memastikan literasi STI dapat diperkasa secara inklusif di seluruh negara.
Turut hadir ialah YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; YBhg. Professor David Fitzpatrick, Provost University of Nottingham Malaysia; YBhg. Dato’ Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), MOSTI serta YBhg. Professor Ir. Dr. Mohd Shahir Liew, Vice Provost (Research and Knowledge) University of Nottingham Malaysia bersama Rakan MySains dan tetamu jemputan.




