28 Ogos 2025, Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui MRANTI telah melancarkan MRANTI AI Connect 2025 iaitu Forum Inovasi AI Nasional di bawah National Technology & Innovation Sandbox (NTIS) serta merasmikan Intelligent Operation Centre (IOC), di MRANTI Park, Bukit Jalil, hari ini.
Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi & Inovasi dengan pengisian diskusi bersama pemimpin industri, panel perbincangan serta pertukaran MoU antara MRANTI dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM).
YB Menteri dalam ucapannya menegaskan bahawa kecerdasan buatan bukan sekadar kemajuan teknologi sebaliknya merupakan satu keperluan negara. Melalui MRANTI AI Connect, Malaysia disasarkan bukan hanya sebagai pengguna, tetapi juga sebagai pembina, peneraju dan pengeksport teknologi AI.
Inisiatif ini akan mempercepat penggunaan AI merentas industri, menghubungkan inovator tempatan dengan peneraju global serta menyokong aspirasi Malaysia untuk berada dalam kelompok 20 ekonomi AI teratas dunia menjelang 2030.
Turut hadir, YBhg. Prof. Dr. Rofina Yasmin Othman, Pengerusi MRANTI, YBrs. Encik Boniface anak Edwin Manung, Setiausaha Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengkomersialan R&D, MOSTI, YBrs. Encik Khalid Yashaiya, Ketua Pegawai Strategi, MRANTI, YBrs. Ts. Ngoh Chee Hung, Pengerusi PIKOM, CIO Chapter, YBhg. Prof. Dr. Mohamed Aslam Bin Mohamed Haneef, Timbalan Rektor, IIUM, YBrs. Encik David Chin, Ketua Pegawai Eksekutif SPARK serta Lembaga Pengarah dan Pengurusan Kanan MRANTI.