Skip to main content
Berita

Pelancaran Pusat Inovasi “The Mylky Way”

8 April 2026, Klang – YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hadir merasmikan Pusat Inovasi The Mylky Way, sebuah fasiliti penyelidikan dan pembangunan (R&D) termaju hasil kolaborasi antara Pure Mylk dan Tetra Pak. Pusat ini menjadi mercu tanda baharu dalam transformasi landskap makanan dan minuman (F&B) Malaysia ke arah ekosistem yang lebih lestari dan berteraskan bio-inovasi.
Pusat inovasi ini memfokuskan kepada segmen minuman berasaskan tumbuhan yang kian berkembang pesat, di mana pasarannya di Malaysia dijangka mencecah nilai USD229 bilion menjelang tahun 2032. Pure Mylk kini menawarkan pelbagai produk daripada sumber seperti oat, kelapa, kekacang, sehinggalah kepada inovasi ramuan protein bunga matahari terbaharu daripada Tetra Pak. Inisiatif ini selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021–2030 bagi memperkukuh sekuriti makanan negara.
Fasiliti ini menyediakan kemudahan Research and Development (R&D) bersepadu dan pengeluaran rintis bagi membantu jenama tempatan mempercepatkan kemasukan produk ke pasaran. Melalui teknologi pembungkusan aseptik Tetra Pak, produk boleh disimpan sehingga 12 bulan tanpa pengawet atau penyejukan, selain menggunakan bahan kitar semula bagi meminimumkan impak alam sekitar. Operasi kilang ini juga menekankan kecekapan tenaga dan pengurangan sisa yang menyokong matlamat kelestarian komersial.
Projek ini mendapat sokongan padu Bioeconomy Corporation, agensi di bawah MOSTI, yang mensasarkan sektor bioteknologi menyumbang 5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030. Pure Mylk, yang bermula melalui program Pemacu Berasaskan Bio (BBA) kini telah berjaya memperoleh Status BioNexus. Kejayaan ini diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi tempatan dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai hab bioekonomi utama di rantau ini.
Skip to content