27 September 2025, Melaka – YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, telah merasmikan Tahun Melawat Malaysia 2026 dalam sebuah majlis berprestij yang berlangsung di Melaka.
Majlis pelancaran turut diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Wira Hajah Asmah binti Abdul Rahman. Turut hadir ialah YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka, YB Dato’ Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya; YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara, Dr. Kao Kim Hourn, Setiausaha Agung ASEAN dan Menteri-menteri ASEAN dan jemputan lain. Kehadiran YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi turut menyerikan majlis.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Melaka atas kejayaan menganjurkan acara berprestij ini. Beliau menegaskan bahawa penganjuran ini adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta, masyarakat dan persatuan budaya, yang sekali gus memperlihatkan kekuatan pelancongan negara.
YAB Perdana Menteri juga menyatakan bahawa Melaka bukan sekadar destinasi pelancongan biasa, tetapi sebuah negeri bersejarah yang pernah menjadi pusat tamadun Islam, perdagangan antarabangsa dan simbol keterbukaan budaya rantau ini. Kisah tokoh tempatan seperti Enrique de Melaka membuktikan kehebatan bangsa Melayu dalam sejarah dunia yang perlu diketengahkan kepada generasi kini dan akan datang.
Justeru, pemilihan Melaka sebagai tuan rumah Tahun Melawat Malaysia 2026 adalah amat tepat kerana negeri ini memiliki keunikan sejarah, kekayaan budaya dan daya tarikan pelancongan yang tiada tandingan. Perdana Menteri juga turut menyeru seluruh rakyat untuk bersama-sama menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026, agar Malaysia terus dikenali sebagai destinasi pelancongan utama dunia.