Skip to main content
Berita

Peluncuran Program STI100³ MOSTI: Catat Dua Rekod Kebangsaan dalam Malaysia Book of Records

07 Julai 2025, Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini melakar sejarah tersendiri dengan mencipta dua rekod kebangsaan bersempena Majlis Peluncuran Program STI 100³ bertemakan “Saintis@Sekolah: Jom STI!”. Majlis penuh simbolik ini telah disempurnakan oleh YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, di Sekolah Menengah Kebangsaan Tiara Permai, Kuala Lumpur.

Dengan penglibatan serentak 𝟖,𝟖𝟎𝟒 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐬𝐚𝐢𝐧𝐭𝐢𝐬 𝐝𝐚𝐧 𝟖,𝟖𝟎𝟒 𝐛𝐮𝐚𝐡 𝐬𝐞𝐤𝐨𝐥𝐚𝐡 di seluruh negara yang melaksanakan aktiviti bersama saintis di premis sekolah masing-masing pada hari ini. Program STI 100³ berjaya meraih dua (2) pengikitirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) melalui pencapaian rekod berikut:
✏️ 𝘓𝘢𝘳𝘨𝘦𝘴𝘵 𝘚𝘤𝘪𝘦𝘯𝘵𝘪𝘴𝘵 𝘗𝘢𝘳𝘵𝘪𝘤𝘪𝘱𝘢𝘵𝘪𝘰𝘯 𝘪𝘯 𝘢 𝘚𝘪𝘮𝘶𝘭𝘵𝘢𝘯𝘦𝘰𝘶𝘴 ‘𝘚𝘛𝘌𝘔’ 𝘗𝘳𝘰𝘨𝘳𝘢𝘮: 𝘚𝘤𝘪𝘦𝘯𝘵𝘪𝘴𝘵𝘴@𝘚𝘤𝘩𝘰𝘰𝘭𝘴: 𝘑𝘰𝘮 𝘚𝘛𝘐!
✏️ 𝘓𝘢𝘳𝘨𝘦𝘴𝘵 𝘚𝘤𝘩𝘰𝘰𝘭 𝘗𝘢𝘳𝘵𝘪𝘤𝘪𝘱𝘢𝘵𝘪𝘰𝘯 𝘪𝘯 𝘢 𝘚𝘪𝘮𝘶𝘭𝘵𝘢𝘯𝘦𝘰𝘶𝘴 ‘𝘚𝘛𝘌𝘔’ 𝘗𝘳𝘰𝘨𝘳𝘢𝘮: 𝘚𝘤𝘪𝘦𝘯𝘵𝘪𝘴𝘵𝘴@𝘚𝘤𝘩𝘰𝘰𝘭𝘴: 𝘑𝘰𝘮 𝘚𝘛𝘐!
Hadir sama YB Tuan Wong Kah Who, Timbalan Menteri Pendidikan; YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI; YBrs. Dr. Mohd Azam bin Ahmad; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan YB Tuan Prabakaran a/l M Parameswaran, Ahli Parlimen Batu.
Program STI 100³ merupakan langkah strategik MOSTI dalam membina dan memperkukuh bakat STEM negara sejak peringkat awal persekolahan. Inisiatif ini dirangka bagi menyokong aspirasi YAB Perdana Menteri untuk memastikan pendidikan sains tidak lagi bersifat teori semata-mata, sebaliknya diperkasa melalui pendekatan interaktif dan kolaboratif yang melibatkan komuniti saintis secara langsung bersama para pelajar. Melalui aktiviti luar bilik darjah, murid-murid diberi peluang meneroka aplikasi sebenar sains, teknologi dan inovasi (STI) secara lebih bermakna dan menyeronokkan.
Sejak mula dilaksanakan pada September 2024, program ini telah mencatat pencapaian membanggakan dengan pelaksanaan dua (2) kitaran awal yang melibatkan 150 orang saintis dan 150 buah sekolah dari seluruh pelusuk negara. Menelusuri kesinambungan usaha tersebut, pelaksanaan Kitaran 1 Tahun 2025 kini sedang giat dijalankan dengan padanan seramai 83 orang saintis bersama 83 buah sekolah yang turut berada di bawah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM).
Program STI 100³ merupakan manifestasi komitmen MOSTI dalam menyemai minat terhadap Sains, Teknologi dan Inovasi sejak di bangku sekolah, seiring pelaksanaan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 dan aspirasi Malaysia MADANI.
Menerusi pendekatan bersepadu bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, industri dan NGO, program ini memperkukuh prinsip 𝘞𝘩𝘰𝘭𝘦 𝘰𝘧 𝘎𝘰𝘷𝘦𝘳𝘯𝘮𝘦𝘯𝘵 𝘈𝘱𝘱𝘳𝘰𝘢𝘤𝘩 dan memastikan akses pendidikan STEM yang menyeluruh dan inklusif. STI 100³ bukan sekadar platform pembelajaran, tetapi landasan strategik dalam membentuk generasi muda yang celik sains dan berupaya menerajui Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi menjelang 2030.
Skip to content