Skip to main content
Berita

Pembangunan 139 Syarikat Teknologi Dipesatkan Dalam Tahun Pertama NTIS

By 2021-10-22Oktober 25th, 2021No Comments
22 Oktober 2021, Kuala Lumpur – Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) merupakan suatu inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA). YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah melancarkan Laporan Satu Tahun 2020 – 2021 serta laman sesawang NTIS hari ini secara dalam talian (Pautan Pelancaran : https://fb.watch/8OhXMClSzg/)
Objektif utama NTIS adalah untuk memangkin pembangunan syarikat pemula teknologi (tech startup) melalui pembangunan produk serta penyelesaian yang inovatif, penerapan teknologi tinggi, sokongan pengkomersialan dan bantuan dana pertumbuhan (seeding fund) sebagai persediaan memasuki pasaran yang lebih besar dan berdaya saing.
NTIS telah menerima sebanyak lebih 500 permohonan lengkap daripada pelbagai jenis syarikat Malaysia yang berhasrat untuk mendapatkan pembiayaan, sokongan teknikal serta pengkomersialan. Menerusi jumlah tersebut, sebanyak 139 syarikat berjaya diserap ke dalam program NTIS antara Ogos 2020 dan Julai 2021.
Untuk makluman, sehingga kini, sebanyak RM52.78 juta telah diluluskan oleh NTIS untuk membiayai 70 syarikat bagi mengembangkan inovasi melalui rakan pembiayaan utama iaitu Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC). Sementara, 69 syarikat yang lain juga turut mendapat sokongan teknikal, pengawal seliaan, sokongan tapak pengujian atau dirujuk kepada organisasi pemberian dana yang mempunyai kerjasama strategik dengan NTIS.
Dato’ Sri Dr. Adham berkata, “NTIS adalah antara instrumen utama yang dikenal pasti MOSTI untuk merealisasikan matlamat Pemecutan Penerapan Teknologi dan Inovasi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-12. Enam sasaran telah ditetapkan termasuk pengkomersialan 500 produk dan penyelesaian melalui NTIS dan Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) menjelang 2025.”