Skip to main content
Berita

Pembangunan Komuniti Melalui Inovasi Sosial: KIS 2025 Perkukuh Pelaksanaan Dasar Inovasi Sosial Negara

16 Oktober 2025, Kuala Lumpur- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) menganjurkan Konvensyen Inovasi Sosial (KIS) 2025, sebuah platform strategik yang menyatukan pelbagai pihak berkepentingan dalam usaha mengangkat solusi berinovasi sebagai pemacu perubahan sosial yang mampan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, yang mewakili YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Turut hadir ialah YBrs. Puan Ruziah bt Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, YBrs. Encik Abdullah bin Daud, Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI, YBrs. Dr. Sharmila Mohamed Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia dan YBrs. Puan Noor Afifah binti Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
Memasuki edisi ketiga, KIS 2025 mengangkat tema “Social Innovation Living Lab: Connect, Collaborate, Creative, Changescape!” yang menggambarkan perjalanan inovator sosial daripada kesedaran terhadap isu komuniti, cetusan idea kreatif, pembangunan teknologi, jalinan kerjasama strategik, hingga terhasilnya produk inovasi sosial yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.
Penganjuran ini mencerminkan komitmen MOSTI dalam memperkukuh pelaksanaan Dasar Inovasi Sosial (DIS) 2024 yang bertujuan memperkasa ekosistem inovasi sosial negara secara inklusif dan berstruktur. Melalui platform khas KIS 2025, masyarakat turut digalakkan mengemukakan isu-isu sosioekonomi untuk dibangunkan penyelesaian berasaskan sains, teknologi dan inovasi (STI), selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI ke arah kemakmuran dan kelestarian sosial negara.
Program selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Oktober 2025 di GMBB Mall, Bukit Bintang dijangka menarik lebih 3,000 pengunjung serta penyertaan 150 inovator sosial dengan memperkenalkan 10 solusi inovasi baharu dan 10 produk komersial tempatan. Edisi kali ini turut menampilkan sesi Business Matching dan jaringan strategik antara inovator, industri serta agensi kerajaan untuk menjadikan konvensyen ini lebih dinamik dengan penekanan kepada pengkomersialan produk serta pemerkasaan ekosistem inovasi sosial negara.
Dengan pendekatan berasaskan komuniti dan teknologi tempatan, KIS 2025 diharap dapat memperkukuh kolaborasi pelbagai pihak dalam mencipta solusi mampan, inklusif dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara.
Skip to content