24 Jun 2024, Kuala Lumpur – Malaysia, menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), meletakkan sasaran untuk melahirkan Pemenang Anugerah Nobel melalui komitmen dan usaha berterusan dalam memperkukuh ekosistem sains, teknologi dan inovasi (STI) negara.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Tuan Chang Lih Kang menegaskan dedikasi Malaysia dalam memupuk persekitaran yang kukuh dan dinamik bagi kemajuan saintifik.
“Harapan MOSTI adalah supaya Malaysia mempunyai Pemenang Anugerah Nobel yang dapat menjadi bukti terhadap usaha dan komitmen yang tinggi dalam memberi inspirasi memperkukuh ekosistem sains, teknologi dan inovasi Malaysia. MOSTI berdedikasi untuk mewujudkan persekitaran dimana penyelidikan dan inovasi dapat berkembang maju seterusnya meletakkan Malaysia sebagai peneraju global dalam bidang STI,” kata YB Tuan Chang Lih Kang semasaucapan pembukaan beliau di Syarahan Pemenang Anugerah Nobel oleh Sir Paul Nurse.
Ketika ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), menerusi universiti-universiti tempatan, sedang melaksanakan inisiatif dalam memupuk pemikiran Pemenang Anugerah Nobel, berpandukan laporan kajian yang bertajuk “Achieving Excellence in Science – the Nobel Path,” yang disediakan berdasarkan pengalaman dan pelaksanaan program ini. Dalam usaha lain, Malaysia, menerusi Akademi Sains Malaysia (ASM) telah melaksanakan beberapa program seperti penganjuran syarahan, perbincangan saintifik dan sesi motivasi sains oleh Pemenang Anugerah Nobel sejak tahun 1999 hingga 2009.
Selain itu, sejak tahun 2004, Malaysia juga menerusi ASM telah menghantar 84 saintis muda untuk menyertai Mesyuarat Nobel Laureate Lindau. Setiap tahun Pemenang Nobel dari seluruh dunia berkumpul di Lindau, Jerman untuk membentangkan penemuan penyelidikan dan berkongsi pengalaman mereka bersama saintis muda terpilih dari negara-negara lain yang turut serta.
Hari ini, ASM bersama Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) telah menganjurkan Syarahan Nobel Laureate oleh Sir Paul Nurse, penerima Anugerah Nobel 2001 dalam Fisiologi dan Perubatan untuk penemuan pengawal kitaran sel utama. Syarahan yang bertajuk “What is Life?” membincangkan lima idea utama biologi, daripada ‘Sel’ kepada ‘Logik Kehidupan’.
Sir Paul Nurse merupakan ahli genetik dan biologi sel yang mengkaji bagaimana kitaran sel eukariotik dikawal. Fokus utamanya adalah pada protein kinase yang bergantung kepada cyclin dan bagaimana ia mengawal pembiakan sel. Beliau berkongsi Anugerah Nobel 2001 dalam Fisiologi dan Perubatan dan telah menerima Anugerah Albert Lasker, Anugerah Gairdner, Anugerah Louis Jeantet dan Pingat Royal Society’s Royal and Copley. Pada tahun 2020, beliau menulis buku “What is Life?” yang telah diterbitkan di 22 buah negara. Syarahan oleh Sir Paul ini merupakan Syarahan Nobel Laureate ke-25 yang diadakan di Malaysia.