Skip to main content
Berita

Penang Digitalisation-AI Conference & Exhibition (PDX 2026)

15–16 Julai 2026, Pulau Pinang – Penang Digitalisation-AI Conference & Exhibition (PDX 2026), anjuran Operion Ecommerce & Software Sdn. Bhd. telah berlangsung selama dua hari bermula 15 hingga 16 Julai 2026. Program ini mendapat sokongan Kementerian Digital serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebagai platform yang menghimpunkan pemain industri, agensi kerajaan, usahawan dan pakar teknologi bagi membincangkan perkembangan pendigitalan serta kecerdasan buatan (AI).
Majlis perasmian hari ini telah disempurnakan oleh YB Tuan Wong Hon Wai, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Sempena program tersebut, MOSTI turut menyampaikan sesi perkongsian berkaitan dasar, inisiatif dan program strategik kementerian oleh YBrs. Tuan Boniface Anak Edwin Manung, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengkomersialan R&D (PTK), MOSTI. Sesi ini memberi pendedahan mengenai usaha kerajaan dalam memperkukuh ekosistem teknologi, inovasi serta mempercepat pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara.
Selain itu, MOSTI turut membuka reruai pameran sepanjang program bagi mempromosikan pelbagai inisiatif utama MOSTI, antaranya Program MySTI, National Technology and Innovation Sandbox (NTIS), Malaysia Commercialisation Year (MCY), National Innovation and Commercialisation Expo 2026 (NICE 2026) serta pelbagai program lain yang menyokong pembangunan ekosistem sains, teknologi dan inovasi negara.
Penyertaan MOSTI dalam PDX 2026 mencerminkan komitmen kementerian dalam memperkukuh kerjasama strategik bersama industri bagi mempercepat pengkomersialan inovasi tempatan, memperluas akses pasaran dan pelaburan serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.
Skip to content