Putrajaya, 20 Februari 2014 – Pencapaian sebanyak 132 % dalam Key Performance Indicator (KPI) telah meletakkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada tahap tertinggi dan terbaik berbanding kementerian-kementerian lain bagi tahun 2013.
Dalam Majlis Amanat Tahun Baru, YB. Datuk Dr. Ewon Ebin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas komitmen cemerlang seluruh warga MOSTI serta jabatan dan agensi atas pencapaian yang melebihi sasaran ini.
Turut disentuh adalah usaha untuk mengarusperdanakan agenda Sains, Teknologi dan Inovasi melalui pelaksanaan program-program flagship dan pelan tindakan yang telah digariskan di dalam Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN).
Dalam ucapannya juga, YB. Menteri menyatakan beberapa dasar dan rang undang-undang sedang digubal. Penambahbaikan terhadap sistem penyampaian maklumat secara cepat dan tepat kepada orang awam akan dilaksanakan secara berterusan bagi memantapkan fungsi dan peranan MOSTI yang berpandukan kepada langkah penjimatan dan perbelanjaan berhemat seperti saranan Kerajaan.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah YBhg. Dato’ Dr. Rosli bin Mohamed, Ketua Setiausaha, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Azhar bin Hj. Yahaya, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) dan Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian, Jabatan dan Agensi.