Skip to main content
Berita

Penganugerahan Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) 2024 & 2025

17 Julai 2025, Kuala Lumpur – YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri telah menyampaikan sijil Penganugerahan Felo Kanan kepada Academician Professor Emerita Datuk Dr Asma Ismail FASc (2024); Academician Professor Dato’ Dr Ahmad Ibrahim FASc dan Academician Dr Koh Chong Lek FASc (2025). Pengiktirafan kepada ketiga-tiga individu berkenaan adalah berdasarkan sumbangan mereka yang ketara dalam bidang masing-masing sekaligus melayakkan penggunaan “Academician” di hadapan nama mereka.

YAB Dato’ Sri Fadillah dalam ucaptamanya turut mengiktiraf usaha ASM yang bukan sahaja menjalankan kajian dan mengemukakan syor dasar berkaitan sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE), malah turut menggalakkan pelaksanaan inisiatif strategik, projek perintis dan demonstrasi kepada tindakan nyata di lapangan. Ujar beliau, “Usaha-usaha berkenaan sejajar dengan matlamat jangka panjang negara menerusi prinsip Malaysia MADANI di bawah nilai-nilai teras seperti Kemampanan dan Kesejahteraan, di mana STIE memainkan peranan penting dalam implementasi dasar-dasar berkaitan bagi memeta hala tuju Malaysia menuju sebuah negara maju menjelang tahun 2030.”
Sebelum itu, Penganugerahan Felo ASM telah diberikan kepada 63 Felo baharu ASM bagi tahun 2024 (31 individu) dan 2025 (32 individu). Kesemua mereka terdiri daripada saintis, jurutera dan pakar teknologi terkemuka negara. Pelantikan sebagai Felo sekaligus melayakkan individu berkenaan menggunakan gelaran “Fellow of the Academy of Sciences Malaysia” atau singkatan “FASc” selepas nama mereka. 3 Pemilihan Felo adalah mewakili individu terbaik di seluruh negara dalam lapan ( 8 ) kumpulan disiplin iaitu Sains Perubatan dan Kesihatan; Sains Kejuruteraan; Sains Kimia; Sains Biologi, Pertanian dan Alam Sekitar; Matematik, Fizik dan Sains Bumi; Teknologi Maklumat dan Sains Komputer; Pembangunan Sains & Teknologi dan Industri; serta Sains Sosial dan Kemanusiaan.
Sehingga kini, ASM mempunyai 535 Felo yang terdiri daripada 30 Felo Kanan dan 505 Felo Biasa. Kedua-dua pengkitirafan “Academician” dan “FASc” merupakan pengiktirafan sains tertinggi negara melalui Akta Akademi Sains Malaysia 1994.
Hadir sama YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI; YBhg. Academician Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen FASc, Presiden ASM dan YBrs. Puan Hazami Habib, Ketua Pegawai Eksekutif ASM.
Senarai Felo ASM 2024 & 2025 boleh diakses menerusi laman web ini: https://www.akademisains.gov.my/experts/.
Skip to content