03 November 2025, Kuala Lumpur – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 (Peringkat Dasar) bagi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat, Parlimen Kelima Belas (2025) di Dewan Rakyat. Turut hadir ialah YB Dato’ Dr. Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Dato Ruziah binti Hj. Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan) MOSTI, YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) serta Encik Mohd Zulhasmi bin Jamaludin, Setiausaha Bahagian Pembangunan MOSTI.
Perbahasan tersebut telah melibatkan 18 orang Ahli Yang Berhormat yang mengemukakan pelbagai pandangan, isu serta cadangan penambahbaikan berkaitan fungsi dan peranan kementerian dalam memperkukuh ekosistem sains, teknologi dan inovasi negara. Bagi Belanjawan Malaysia MADANI 2026, peruntukan untuk MOSTI menunjukkan peningkatan bagi bajet mengurus sebanyak RM759.68 juta, iaitu kenaikan 2.8% berbanding tahun sebelumnya. Sementara itu, peruntukan pembangunan mencatat sedikit penurunan kepada RM516.21 juta berbanding RM536.62 juta pada tahun 2025.
Komponen bajet pembangunan 2026 turut memperlihatkan beberapa perubahan ketara, antaranya peningkatan besar dalam komponen Pembangunan Perkhidmatan STI kepada RM229.07 juta, iaitu peningkatan sebanyak 62% berbanding tahun 2025. Namun begitu, komponen Penyelidikan STI dan Pengkomersialan STI menunjukkan penurunan kepada RM287.14 juta berbanding RM395.13 juta pada tahun sebelumnya. Bagi tahun 2026, Kerajaan ke arah mengurangkan kebergantungan terhadap geran dan memangkin pembangunan ekuiti melalui syarikat pemula (startup) berasaskan teknologi tempatan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu negara.
MOSTI akan terus memperkasa pelbagai mekanisme pembiayaan dan dana strategik, khususnya yang menyokong pengkomersialan hasil penyelidikan dan inovasi tempatan. Langkah ini sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai pencipta teknologi terkemuka di rantau ASEAN serta berdaya saing di peringkat global, selaras dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan kemajuan berteraskan ilmu, inovasi dan kesejahteraan rakyat.




