Skip to main content
Berita

Pengoperasian Pusat Sains Negara Kuala Lumpur

By 2021-11-30Disember 2nd, 2021No Comments
30 November 2021, Kuala Lumpur – Pusat Sains Negara Kuala Lumpur telah kembali dibuka untuk kunjungan awam bermula 17 November 2021. YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah meluangkan masa melawat Pusat Sains Negara bagi meninjau ketersediaan PSN mengendalikan pengunjung dalam suasana norma baharu di samping aktiviti dan pameran interaktif berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang di tawarkan.
Ketibaan YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim disambut oleh Puan Mismah binti Jimbun, Pengarah PSN serta diiringi oleh beberapa pegawai PSN yang lain. Beliau kemudiannya telah dibawa melihat ke semua pameran serta mencuba beberapa aktiviti menarik di sana bermula dengan kehidupan air tawar, seterusnya penghasilan tenaga elektrik daripada pelbagai sumber, pameran alam sekitar, sel dalam tubuh haiwan, daun dan manusia serta pelbagai lagi sehinggalah yang terakhir di bawa ke pengembaraan kehidupan dinosaur.
MOSTI melalui PSN sentiasa komited bagi meningkatkan kesedaran, kefahaman dan penghargaan orang ramai terhadap STI. Pembudayaan STI melalui aktiviti luar bilik darjah yang membolehkan pengunjung mencuba, menguji dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti ‘hands-on’ dilihat mampu menyemai minat pelajar dan masyarakat dalam STI, memperkukuhkan pembelajaran STI serta memupuk pembelajaran sepanjang hayat.
PSN kini menawarkan potongan harga sebanyak 50% kepada semua Keluarga Malaysia sehingga hujung tahun iaitu 31 Disember 2021! Sebagai panduan, pengunjung dinasihatkan untuk melakukan tempahan tiket lawatan di laman sesawang PSN terlebih dahulu di http://www.psn.gov.my/borang-tempahan-lawatan-berkumpulan/
Lawatan secara “walk-in” adalah tidak dibenarkan. Sekadar peringatan mesra, Anda juga dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan. Apa tunggu lagi tempah slot anda sekarang!!
Skip to content