3 September 2024, Putrajaya – Perhimpunan Bulanan MOSTI (September) 2024 bersama YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal , Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berlangsung pada hari ini dan buat julung kalinya diadakan secara terbuka (outdoor) di pekarangan lobi Blok C5, MOSTI, Kompleks C, Putrajaya. Perhimpunan bulanan pada kali ini diterajui oleh Bahagian Antarabangsa, Unit Komunikasi Korporat dan Unit Perundangan.
Istimewanya Majlis Perhimpunan Bulanan pada kali ini adalah dalam keadaan jiwa kita yang masih berkobar-kobar dengan semangat “Malaysia MADANI-Jiwa Merdeka” sempena Hari Kebangsaan kali ke-67 baru-baru ini. Kita juga bakal meraikan Sambutan Hari Malaysia dan Sambutan Maulidul Rasul yang akan disambut pada hari yang sama iaitu pada 16 September 2024. Majlis Perhimpunan Bulanan ini bukanlah sekadar rutin, tetapi juga merupakan platform yang penting untuk kita berkongsi maklumat, idea-idea baharu dan perkembangan terkini di MOSTI.
YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal dalam ucapannya menyatakan bahawa MOSTI dalam merangka belanjawan MADANI bagi MOSTI untuk tahun 2025 yang terangkum dan menyeluruh mengambil kira pandangan setiap pihak berkepentingan melibatkan pemegang taruh yang terlibat dalam pembangunan teknologi serta pembangunan bakat dan pembudayaan STI. Ini membuktikan komitmen MOSTI dalam menyokong aspirasi Malaysia berasaskan nilai MADANI yang meliputi kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, nilai harmoni, keyakinan dan ihsan.
YB Timbalan Menteri turut menyeru agar seluruh warga MOSTI dapat bersama-sama terus berusaha menyediakan perkhidmatan yang terbaik dalam menjayakan agenda MOSTI meningkatkan kemajuan Sains, Teknologi dan Inovasi untuk negara Malaysia yang tercinta ini.
Hadir sama ialah YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI; YBrs Tuan Ooli Gunalan a/l Manickam, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) MOSTI, Ketua-ketua Bahagian, Ketua-ketua Pengarah dan CEO serta warga MOSTI, jabatan dan agensi.
Antara lain, pengisian pada Perhimpunan bulanan kali termasuklah Penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan sempena HKHM MOSTI 2024, Makluman Kenaikan Pangkat, Makluman Pegawai Keluar Masuk dan Sambutan Hari Lahir (September) Warga MOSTI, Jabatan dan Agensi.