Skip to main content
Berita

Perkongsian Data Mentah Penyelidikan Menerusi Platform Sains Terbuka Malaysia (MOSP)

16 April 2022, Johor – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Akademi Sains Malaysia kini dalam usaha menyediakan sebuah platform perkongsian data mentah penyelidikan yang sejajar dengan Dasar Perkongsian Data Sektor Awam. Data mentah penyelidikan yang dihimpunkan oleh ASM menerusi Platform Sains Terbuka Malaysia (MOSP) boleh menjadi salah satu kluster di bawah data sektor awam negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr Adham Baba berkata, “Menerusi inisiatif ini, penyelidik dapat melakukan kerja-kerja penyelidikan dengan terangkum dan adalah dianggarkan kerajaan dapat melakukan penjimatan kos kerja-kerja penyelidikan sekurang-kurangnya RM500 juta setahun.”

Platform yang kini sedang dalam pembangunan akan menghubungkan lima universiti penyelidikan negara di bawah projek rintis MOSP dan MOSP akan menjadi pintu gerbang kepada data mentah penyelidikan yang merupakan aset berharga negara. MOSP sehingga kini telah berjaya melatih lebih 200 orang penyelia data (data steward) di peringkat nasional. Latihan Penyeliaan Data untuk Sains Terbuka ini berjaya meningkatkan kemahiran pustakawan dan penyelidik dari pelbagai IPT dan institut penyelidikan negara.

MOSP telah mencatat lebih 2 juta capaian untuk program kesedaran Sains Terbuka di peringkat nasional dan antarabangsa. MOSP juga turut giat bekerjasama dengan organisasi dan platform Sains Terbuka antarabangsa dan menjadi ahli dalam inisiatif global seperti Global Open Science Cloud (GOSC).

Dalam perkembangan lain, MOSTI menerusi Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) sedang giat mengusahakan SMART farming. NIBM telah membangunkan fasiliti makmal tisu kultur tumbuhan dan struktur pelindungan hujan (SPH) yang mempunyai ciri SMART farming.Kaedah penanaman ini dapat memberi manfaat seperti menjimatkan ruang tanaman, tidak menggunakan tanah (terhindar daripada penyakit bawaan tanah), penjimatan baja, persekitaran bersih dan terkawal, seterusnya dapat mengurangkan beban tenaga pekerja.

Hasil pemerhatian juga telah menunjukkan kadar pertumbuhan pokok yang lebih cepat, hasil tuaian yang tinggi dan bebas daripada racun kimia. Persekitaran yang optimum ini juga dapat memberi kesan ke atas kualiti sebatian bioaktif yang lebih baik untuk penghasilan produk yang bermutu tinggi.

Manakala di bawah Program Bioremediasi Keluarga Malaysia, ia akan mengoptimumkan sumber asli bagi penghasilan input pertanian yang mampan melibatkan pengurusan sisa yang selamat, mesra alam dan lestari iaitu menggunakan sisa organik larva Black Soldier (BSF) yang mampu mengurai sisa domestik dan agro industri untuk menghasilkan makanan haiwan ternakan dan baja kompos yang berkualiti.

Skip to content