Skip to main content
Berita

Perkukuh Ekosistem Bioteknologi dan Perubatan Regeneratif Negara

8 September 2026, Kuala Lumpur – YB Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof bin Apdal Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, petang tadi hadir menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara YAKIN Splendour, Hospital UMRA dan Universiti Malaya Medical Centre (UMMC) di the Aurum Theater, TRX.

Kerjasama yang dimeterai oleh pihak-pihak berkenaan turut merangkumi penubuhan makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D) bertaraf Good Manufacturing Practice (GMP) di UMMC, yang mencerminkan usaha pihak industri dan institusi berkaitan dalam memperkukuh rantaian pembangunan inovasi daripada penyelidikan dan pembangunan kepada pengesahan serta pengkomersialan.
Dalam konteks perubatan regeneratif, aspek bukti saintifik, keselamatan, kualiti dan pematuhan kepada keperluan regulatori merupakan perkara penting yang perlu diberi perhatian dalam pembangunan serta penggunaan teknologi dan produk berkaitan.
YB Timbalan Menteri turut merakamkan ucapan tahniah kepada dua legenda badminton negara, Datuk Dr. Haji Misbun Sidek dan Dato’ Seri Haji Jalani Sidek, atas pelantikan sebagai Physoxic Stem Cell Testimonial Ambassadors bagi YAKIN Splendour.
Penglibatan mereka membuka ruang kepada peningkatan kesedaran mengenai perkembangan teknologi regeneratif, khususnya dalam konteks kecederaan dan kesihatan sukan, dengan mengambil kira kepentingan bukti saintifik dan amalan perubatan yang sewajarnya.
Bagi MOSTI, kemajuan bioteknologi dan perubatan regeneratif menunjukkan potensi penyelidikan yang memacu nilai ekonomi serta kesejahteraan masyarakat, namun pembangunannya mesti dilaksanakan secara bertanggungjawab mengikut piawaian dan regulatori yang ditetapkan.
MOSTI berharap ekosistem ini terus diperkasakan melalui kolaborasi antara industri, akademik, dan institusi kesihatan demi memperkukuh daya saing serta inovasi negara.
Skip to content