Skip to main content
Berita

Persidangan Kecerdasan Buatan United Kingdom – Malaysia (UK-MY AI Conference)

17 Oktober 2023, Kuala Lumpur –  YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, hari ini telah merasmikan Persidangan Kecerdasan Buatan United Kingdom – Malaysia (UK-MY AI Conference) di Connexion Conference & Event Centre Kuala Lumpur.
Turut hadir di majlis perasmian UK-MY AI Conference ialah YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan Andrew Bowes, Counsellor (Global Issues), Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia.
Persidangan yang bertemakan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) merupakan anjuran bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Suruhanjaya Tinggi British Kuala Lumpur (British High Commission Kuala Lumpur, BHC KL). UK-MY AI Conference akan memberikan fokus kepada perbincangan berkaitan AI yang merupakan salah satu teknologi yang ditekankan dalam dokumen Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030, Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 dan United Kingdom International Technology Strategy (ITS).
Lebih 300 orang peserta menghadiri persidangan, termasuk wakil Kerajaan, akademia, industri dan persatuan. Persidangan AI itu turut menghimpunkan pakar-pakar AI dari United Kingdom, China, Singapura, Indonesia serta pakar AI tempatan bagi membincangkan pelbagai topik berkaitan AI. Perbincangan itu memfokus kepada tiga (3) tema utama iaitu Tadbir Urus, Dasar dan Peraturan AI; Perkongsian merangkumi Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi dalam bidang Kesihatan dan Pertanian; dan Pembangunan Bakat serta Kemahiran.
Objektif persidangan ini adalah untuk memupuk jalinan kerjasama dan diplomasi teknologi yang lebih kukuh antara UK dan Malaysia bagi menggalakkan perkongsian ilmu terutamanya dalam bidang AI di samping menyediakan platform dialog terbuka bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan Pembangunan tadbir urus, standard dan piawaian AI antarabangsa yang inklusif dan bertanggungjawab.
Kerjasama Kerajaan UK dan Malaysia perlu diteruskan dalam sains dan teknologi dengan terus mengukuhkan profil penyelidikan antarabangsa serta membawa gabungan kepakaran dalam sektor sains, teknologi dan industri bagi mengukuhkan lagi ekonomi kedua-dua negara.
Platform perbincangan seperti UK-MY AI Conference ini akan menjadi pemangkin kepada transformasi positif dalam perkembangan AI di Malaysia dan melakarkan hala tuju baharu ke arah pasaran yang lebih luas selain mentransformasikan Malaysia daripada negara yang menggunakan teknologi kepada negara yang membangunkan teknologi.
Skip to content