Skip to main content
Berita

Pertandingan Drone Edu Challenge 4IR (DEC4IR) 2022 Sasar 5,000 Pelajar Sekolah Di Seluruh Malaysia

25 Jun 2022, Johor – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba hari ini telah menyempurnakan majlis pra-pelancaran Drone Edu Challenge 4IR (DEC4IR) 2022 di tapak pengujian dron DRZ Iskandar, di Iskandar Puteri, Johor.

DEC4IR 2022 yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Malaysia Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kelab Remaja Udara Malaysia (KRUM) dan Iskandar Investment Berhad (IIB) berlangsung selama lima bulan bermula Jun hingga Oktober 2022 secara dalam talian.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba berkata berdasarkan potensi teknologi dron ini, Kerajaan megalu-alukan bakat-bakat baharu di kalangan belia untuk menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta menerokai teknologi-teknologi terkini sejak usia muda lagi.

“Kerjaya dalam industri ini adalah sangat luas, di mana anak muda akan datang bukan sahaja dapat menjadi pengendali dan pengaturcara aplikasi dron, penganalisis data, pelatih serta jurutera, malah berpotensi menjadi pelumba dron profesional dengan mewakili negara di peringkat antarabangsa,” kata YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba.

Program DEC4IR telah bermula pada tahun 2020 dan telah disertai lebih 3,500 pelajar yang diberi pendedahan terhadap dron, robotik dan pengaturcaraan. Ia telah memberi impak kepada lebih 100,000 peserta melalui program yang dijalankan secara maya selama lima bulan. Bagi edisi tahun 2022, penglibatan sebanyak 5,000 peserta disasarkan daripada kalangan pelajar di seluruh Malaysia.

Antara aktiviti-aktiviti yang disusun sempena DEC4IR 2022 kali ini adalah pembelajaran mengenai anatomi dron, penyelesaian masalah menggunakan dron, pengendalian dan juga penerbangan automasi hasil kod yang dibina sendiri. Pihak industri yang terlibat juga turut berkongsi pengalaman, peluang pekerjaan masa hadapan dan penajaan untuk tujuan pendidikan yang diberikan kepada pihak sekolah untuk kegunaan pelajar.

Program seperti ini diharapkan dapat melahirkan ramai inovator muda yang berkebolehan untuk menghasilkan penyelesaian, aplikasi dan produk berteknologi untuk semua lapisan masyarakat, sekali gus merealisasikan wawasan Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2030.

Hadir sama YBhg. Datuk Zainal Abidin bin Abu Hassan, Ketua Setiausaha MOSTI dan YBrs. Prof. Dr. Rosli bin Md Illias, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia.

Skip to content