28 Jun 2026, Kuala Lumpur – Pertandingan World of Robotics Championship (WRC) PRO 2026 telah berlangsung di Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU), Taman Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur telah melibatkan penyertaan pelajar berusia 13 hingga 19 tahun daripada pelbagai institusi pendidikan termasuk Kolej Vokasional dan MRSM.
Penganjuran pertandingan ini bertujuan untuk memupuk kemahiran teknologi abad ke-21, kreativiti serta inovasi dalam kalangan generasi muda, selaras dengan agenda Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) negara.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Dato’ Ruziah Binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang memberikan sokongan dan semangat kepada para peserta.
Memasuki edisi ke-8 penganjurannya, WRC PRO 2026 terus menjadi platform kompetitif yang mencungkil dan mengetengahkan bakat pelajar serta belia dalam bidang robotik dan teknologi. Inisiatif ini juga selaras dengan aspirasi MOSTI untuk memacu Malaysia ke arah negara berteknologi tinggi melalui pembudayaan Sains, Teknologi, Inovasi (STI) dan STEM.




