Skip to main content
Berita

PESTA KAAMATAN 2012 PERINGKAT DAERAH KOTA MARUDU

By 2012-05-20Mac 10th, 2017No Comments

 

Kota Marudu, 20 Mei 2012 –  Pesta Kaamatan peringkat Daerah Kota Marudu selama dua hari bermula semalam disambut dalam suasana harmoni dan meriah. Sambutan Pesta Kaamatan bagi parlimen P168 Kota Marudu yang diwakili oleh YB Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada kali ini dirasmikan oleh YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur, Sabah dan Presiden Parti Bersatu Sabah.

Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dalam ucapan perasmiannya berkata sambutan Pesta Kaamatan oleh kaum KadazanDusun dan Murut di negeri ini memain peranan penting dalam mengukuhkan lagi perpaduan rakyat.

Beliau turut menekankan bahawa perayaan tersebut bukan hanya disambut oleh kaum ini malah turut disertai kaum lain tanpa mengira bangsa dan agama. Katanya juga kerajaan sentiasa terbuka dan mendengar pandangan serta sentiasa berusaha memenuhi segala keperluan rakyat.

Sementara itu, YB. Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili dalam ucapannya menyeru agar semua warga Kota Marudu sentiasa menghargai keamanan dan kesejahteraan Negara yang dikecapi.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata kepesatan pembangunan Kota Marudu amat ketara jika dibandingkan dengan 30 tahun lalu dengan kemudahan asas seperti air, elektrik,  jalan raya, rumah dan sekolah sudah semakin baik dan menjangkau ke segenap pelusuk kampung. Pelbagai projek pembangunan juga sedang giat dilaksanakan dalam usaha Kerajaan untuk meningkatkan ekonomi penduduk Kota Marudu khususnya.

Seperti mana tahun-tahun yang lepas MOSTI turut tidak terkecuali mengambil bahagian dalam pameran yang diadakan. Sepanjang tempoh dua hari pesta berlangsung juga, pelbagai acara kebudayaan, sukan rakyat, persembahan pentas dan pameran oleh agensi kerajaan dan swasta serta pameran rumah-rumah tradisional telah diadakan bagi menarik lebih ramai pengunjung bertandang. Turut diadakan ialah Karnival Teluk Marudu pada 19 Mei dan Unduk Ngadau peringkat Daerah Kota Marudu 2012.

Pesta Kaamatan yang juga dikenali sebagai pesta menuai ini disambut sepanjang bulan Mei. Dengan tema pada tahun ini “Cinta Terhadap Kebudayaan Melahirkan Masyarakat Penyayang”, Pesta Kaamatan 2012 akan tiba kemuncaknya pada 31 Mei 2012.