Skip to main content
Berita

Petrosains RBTX Challenge 2022 Memupuk Bakat Dalam Bidang Robotik

14 Julai 2022, Kuala Lumpur – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba hari ini telah merasmikan Pertandingan Petrosains RBTX Challenge 2022 yang merupakan salah satu program di bawah Malaysia Techlympics di Galleria, Petrosains.

Pertandingan yang mula diperkenalkan pada tahun 2018 ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama PETRONAS Dagangan Berhad (PDB), Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI), MyDigital Corporation, UBTech dan Microsoft Malaysia.

Petrosains RBTX Challenge 2022 merupakan salah satu daripada program utama yang dianjurkan oleh Petrosains dan dijangka menarik penyertaan seramai 10,000 pelajar. Menerusi program yang akan bermula pada September 2022 ini, para pelajar berpeluang berkongsi minat dalam bidang sains dan teknologi melalui elemen penciptaan, khususnya dalam bidang robotik.

Menurut YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, penganjuran program ini adalah selaras dengan visi MOSTI untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.

“Petrosains RBTX Challenge 2022 ini juga sejajar dengan matlamat Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 (DSTIN) dalam memacu Malaysia ke arah sebuah negara yang lebih berdaya saing melalui sains, teknologi dan inovasi (STI) yang kukuh,” kata YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba.

Tambahnya, “Program ini dapat meningkatkan minat dan tumpuan para pelajar terhadap mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), sekali gus memupuk sifat ingin tahu dengan menggunakan pendekatan secara hands-on menerusi aktiviti yang menyeronokkan. Ia juga dapat meningkatkan kompetensi dan kreativiti melalui aktiviti yang dijalankan secara amali.”

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Tuan Haji Bacho Pilong, Naib Presiden Kanan, Pelaksanaan Projek dan Teknologi PETRONAS; Encik Ezarisma Azni Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif, Petrosains Sdn. Bhd.; serta Encik Khalid Yashaiya, Ketua Pegawai Strategi, MRANTI Corporation.

Petrosains RBTX Challenge 2022 merupakan platform di mana semua peminat robotik dapat berkumpul untuk mempelajari, menerokai dan bertanding menggunakan robot ciptaan mereka. Selain itu, ia juga dapat membantu penguasaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan keupayaan untuk berinovasi, seterusnya mendidik orang ramai tentang perkembangan era digital yang didorong oleh teknologi canggih seperti robotik, artificial intelligence (AI) dan Internet kebendaan (IoT).

Petrosains RBTX Challenge 2022 mendapat sokongan menerusi bantuan dan kepakaran daripada penasihat akademik daripada institusi pendidikan berprestij seperti Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Politeknik Malaysia Kota Kinabalu.

Sejak diperkenalkan, Petrosains RBTX Challenge telah mendapat sambutan positif dan memberangsangkan dengan penyertaan dari lebih 800 buah sekolah di seluruh negara. Pertandingan ini kini dibuka kepada peserta tempatan dan antarabangsa bermula 18 April hingga 31 Julai 2022 untuk tiga kategori iaitu Robo Tracer, Robo Sumo dan Innovation.

Juara Petrosains RBTX Challenge akan memenangi hadiah wang tunai bernilai lebih daripada RM40,000 serta e-sijil daripada Petrosains. Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari www.petrosains.com.my/rbtx-challenge.

Skip to content