Skip to main content
Berita

PMR 2025 Kelantan Manifestasi Komitmen Kerajaan Memacu Sains, Teknologi dan Inovasi untuk Kesejahteraan Rakyat

09 Ogos 2025, Kelantan – Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kelantan telah melabuhkan tirainya hari ini setelah berlangsung selama tiga hari, bermula 7 hingga 9 Ogos 2025 di Pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan. Program ini berjaya menarik lebih 180,000 pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat, membuktikan sokongan padu rakyat terhadap aspirasi Kerajaan untuk mendekatkan dasar dan perkhidmatan terus ke akar umbi.

Perasmian penutup #PMR2025Kelantan telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Hadir sama, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Bin Haji Daud; Menteri Besar Kelantan; YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara; YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean bin Tengku Feissal, Setiausaha Kerajaan Kelantan dan YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI.
Dalam ucapannya, YAB Perdana Menteri telah menekankan pentingnya STI dalam memperkasakan komuniti dan membina masa depan negara yang lebih sejahtera dan berdaya tahan. Dengan tema “Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) untuk Kesejahteraan Rakyat”, PMR 2025 Kelantan menyerlahkan iltizam Kerajaan MADANI dalam memastikan tiada pihak yang tercicir daripada arus pembangunan negara yang berpaksikan teknologi dan inovasi.
Sebanyak RM6.993 juta diberikan kepada Negeri Kelantan sebagai simbolik Peluncuran pelaksanaan Program Tuisyen Madani dibawah Inisiatif Pembasmian Kemiskinan, manakala seramai 10 orang pelajar cemerlang STPM 2024 telah menerima peranti Madani berupa komputer riba beserta hadiah kecemerlangan berbentul sijil Simpanan Premium bernilai RM1000. Perdana Menteri turut menyumbang sebanyak RM48,000 kepada kelab permotoran berdaftar di Kelantan.
MOSTI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengunjung, rakan strategik dan agensi pelaksana atas kejayaan penganjuran PMR 2025 Kelantan. Program ini membuktikan bahawa penyampaian berteraskan STI mampu memberi impak besar jika dilaksanakan secara inklusif dan menyeluruh.
PMR 2025 Kelantan merupakan inisiatif Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM) sebagai penganjur bersama.
Skip to content