06 Mei 2025, Putrajaya – INNOVATHON’ kini kembali mencari bakat-bakat Innovator yang kreatif untuk musim ke 3. Pra-Pelancarannya telah disempurnakan oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Ts. V Valluvan a/l Veloo, Timbalan Ketua Setiausaha (Makro), Kementerian Ekonomi dan YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI.
INNOVATHON merupakan rancangan TV berbentuk realiti didik hibur yang mempertandingkan inovasi daripada pereka cipta tempatan yang mempunyai nilai pengkomersialan dan impak kepada kesejahteraan masyarakat. INNOVATHON musim kedua telah berjaya menarik jumlah tontonan melebihi 26 juta.
YB Tuan Chang Lih Kang dalam ucapannya menyatakan bahawa Program seperti INNOVATHON ini bukan sekadar pertandingan, tetapi merupakan usaha berterusan untuk menyemarakkan budaya inovasi dalam kalangan rakyat; menarik minat golongan muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); meningkatkan pelaburan sektor swasta dalam R&D&C&I dan melonjakkan jumlah paten daripada pencipta tempatan.
Untuk musim ketiga, INNOVATHON diteruskan dengan kerjasama antara Kementerian Ekonomi (KE) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), serta disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai rakan strategik.
Pencarian bakat baru ‘INNOVATHON’ musim 3 melalui sesi uji bakat terbuka akan bermula pada 10 Jun sehingga 5 Ogos 2025 di enam (6) zon utama seluruh Malaysia, termasuk Sarawak, Pulau Pinang, Sabah, Terengganu, Johor dan Kuala Lumpur.
Inisiatif seperti INNOVATHON mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasa bakat tempatan dan memacu inovasi rakyat. Melaluinya, kita semakin hampir merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.