Skip to main content
Berita

Program Bioremediasi Keluarga Malaysia Mengurangkan Beban Dan Kos Penternak

Muar, 28 Mac 2022 – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Bioremediasi Keluarga Malaysia di Pusat Perkhidmatan Pertanian Bersepadu, Pertubuhan Peladang Kawasan Muar Selatan, Johor.

Program Bioremediasi Keluarga Malaysia bertemakan ekonomi kitaran yang menyokong objektif Wawasan Kemakmuran Bersama dan Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi dengan membangunkan sumber asli tempatan secara mampan untuk input ladang bioteknologi dan ternakan yang bernilai tinggi.

Program Bioremediasi Keluarga Malaysia merupakan sebuah program latihan dan pemindahan teknologi kaedah penternakan larva lalat jenis Black Soldier Fly (BSF) secara teori dan praktikal oleh saintis tempatan kepada masyarakat.

Program ini dibiayai di bawah dana Malaysia Inovasi Sosial (MyIS), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan agensi pelaksananya adalah Agro-Biotechnology Institute (ABI), National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM) dan Pertubuhan Peladang Kawasan Muar Selatan.

Proses bioremediasi merupakan kaedah pengurusan sisa yang selamat, mesra alam dan lestari menggunakan larva Black Soldier Fly untuk proses pengkomposan sisa domestik dan agro industri menjadi makanan haiwan ternakan serta baja organik yang berkualiti. Penghasilan input pertanian ini mampu mengurangkan beban dan kos para penternak dan petani, di samping dapat mengurangkan masalah pengurusan sisa domestik dan sisa pertanian di kawasan sekitar.

Kajian mendapati BSF efektif dalam mengurangkan jisim dan kandungan lembapan sisa organik sehingga 80 peratus. Dengan itu, kos pengangkutan sisa dan ruangan tapak pelupusan sisa akan turut berkurang. Larva BSF mengandungi kandungan nutrisi yang tinggi iaitu sebanyak 40 peratus protein dan 30 peratus lemak serta mikronutrien lain seperti zink dan zat besi.

Sebuah fasiliti penternakan BSF yang dilengkapi dengan peralatan dan kelengkapan turut dibangunkan di tapak projek Pusat Perkhidmatan Pertanian Bersepadu, Sungai Balang, di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan Muar Selatan. Program Bioremediasi ini turut mendapat sokongan sektor swasta tempatan seperti Summit Signature Hotel, Batu Pahat yang berperanan dalam membekalkan sisa dapur sebagai makanan kepada larva BSF.

 

 

Skip to content