20 November 2024, Kuala Lumpur – Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Astro melancarkan program ‘INNOVATHON’ Musim 2, sebuah program realiti TV berteraskan sains, teknologi dan inovasi sebagai platform untuk mengangkatKemahiran dan idea inovatif dalam kalangan rakyat Malaysia bagi mencari penyelesaian dan juga penambahbaikkan terhadap isu sosioekonomi semasa.
Hari ini telah berlangsung sidang media bersama YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi mengenai ‘INNOVATHON’ Musim 2 yang bakal bermula pada30 November 2024, jam 9 malam, di Astro Ria (saluran 104) dan RTM saluran TV1 jam 9 malam.
Lebih Istimewa, program ‘INNOVATHON’ pada musim ini turut membabit kerjasama denganKementerian Pendidikan Malaysia dan juga Kementerian Pengajian Tinggi sebagai usaha mempopularkan sains dan teknologi dalam kalangan pelajar di peringkat sekolah dan juga peringkat Universiti. Program ini juga turut menarik perhatian Asia School Of Business (ASB) untuk menjadi rakan strategik bagi musim kali ini.
Seramai 56 orang peserta telah dipilih menerusi sesi ujibakat, dan bakal bersaing di pentas ‘INNOVATHON’ dengan memberikan persembahan idea-idea menarik berteraskan sains dan inovasi menerusi siaran selama 8 episod. Setiap episod bakal menyaksikan kesemua peserta memberikan pembentangan terbaik dalam usaha memenangi hati panel juri dan juga rakyat Malaysia.
Idea terbaik dari setiap episod akan terpilih untuk mara ke peringkat akhir, dan mereka akan bersaing bagi memenangi Dana Sokongan Pembangunan Perniagaan dengan nilai terkumpul sehingga RM1 juta.
Telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Content Asia 2024 dalam kategori program realiti original dan/atau Pertandingan Terbaik, ‘INNOVATHON’ musim 1 telah membuktikan bahawa program seumpama ini mendapat sambutan yang memberangsangkan.