Skip to main content
Berita

Program Jelajah STIE MOSTI 2022: Jangkauan Keterangkuman Malaysia Techlympics

13 Ogos 2022, Kuala Kangsar – YBhg. Datuk Zainal Abidin Abu Hassan, Ketua Setiausaha MOSTI meluangkan masa mengunjungi SK Ulu Kenas,Kuala Kangsar, Perak di mana diadakan Program Jelajah STIE MOSTI 2022: Jangkauan Keterangkuman Malaysia Techlympics.

Program ini merupakan satu lagi inisiatif di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) iaitu sebuah agensi di bawah MOSTI.

Malaysia Techlympics adalah program yang menfokuskan kepada aktiviti pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) interaktif kepada pelajar sekolah di samping menyediakan kursus Latihan Tenaga Pengajar atau Training of Trainers kepada para guru.

Program ini telah dijalankan di 50 buah lokasi di seluruh Malaysia menerusi pelbagai aktiviti sains di reruai pameran yang mendedahkan teknologi dan aplikasi terkini melalui robot, dron serta aktiviti interaktif secara amali atau praktikal (hands-on) kepada pelajar dan guru-guru.

Sejak Malaysia Techlympics dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada bulan Mac lalu, seramai lebih 920,000 rakyat Malaysia berusia antara tujuh (7) hingga 30 tahun telah mendaftar untuk menyertai pelbagai pertandingan dan sesi perkongsian sains, teknologi dan inovasi (STI).

Dengan sokongan dan penglibatan Keluarga Malaysia, program Malaysia Techlympics ini diharap mampu melahirkan masyarakat inovatif bermula daripada usia muda dalam usaha untuk ‘Merakyatkan Sains dan Menginsankan Teknologi’.

Rakan usahasama, para pelajar dan belia dijemput menyertai Malaysia Techlympics dengan mendaftar melalui laman web www.techlympics.my.

Skip to content