17 Oktober 2024, Selangor – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Angkasa Malaysia dengan rakan kerjasama strategik SpaceIn Sdn. Bhd. dan Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan Program Jurutera Angkasa Muda. Program pembudayaan sains ini merupakan kick off kepada program “STI 100 on the Power of Three” (STI 100³) yang melibatkan 100 saintis, 100 sekolah, 100 hari ini adalah selaras dengan seruan YAB Perdana Menteri untuk menarik minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Penjanaan ilmu pengetahuan (knowledge creation) dalam bidang angkasa penting agar kita tidak lagi bergantung sepenuhnya dengan teknologi luar, kita bangunkan keupayaan tempatan yang kompetitif bermula dengan membangun bakat anak muda dari awal persekolahan. Seterusnya pendekatan seumpama ini akan dapat memperkukuhkan potensi kerjaya sedia ada dan mencipta peluang kerjaya baharu bernilai tinggi dalam bidang ini,” kata YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI pada majlis perasmian penutupan program di Kompleks Teknologi Angkasa, MYSA.
Program ini dapat memberi pengalaman secara terus kepada pelajar mengenai tugas jurutera angkasa dalam membangunkan sebuah satelit yang merangkumi proses memahami keperluan, penyediaan spesifikasi, pembangunan subsistem, integrasi sistem dan akhirnya pengujian sistem. Semua elemen ini selaras dengan apa yang dipelajari dalam mata pelajaran Sains, Reka Bentuk dan Teknologi (RBT).
Penyertaan program melibatkan 57 buah sekolah rendah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Langat merangkumi Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) (SJK(C)) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) (SJK(T)). Pengisian program terbahagi kepada dua iaitu aktiviti utama – pembangunan model CubeSat yang melibatkan seramai 92 pelajar tahap dua manakala aktiviti sampingan iaitu melukis dan mewarna melibatkan pelajar tahap satu dan dua. Keseluruhan penglibatan adalah 24,000 pelajar.