Skip to main content
Berita

Program Kembara Sains Borneo (KSB)

9 September 2024, Sabah – Program Kembara Sains Borneo (KSB), yang dianjurkan oleh Pusat Sains Negara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), bakal diteruskan pada tahun hadapan, tertakluk kepada peruntukan kerajaan. Perkara ini dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, ketika menyampaikan ucapan semasa lawatan beliau SMK Deshon Sibu, salah satu lokasi yang terlibat dalam program KSB 2024.

Menurut beliau, KSB 2024 telah berjaya mencapai objektif dalam memperkasakan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) bukan formal di kalangan pelajar, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman di Borneo. Namun, pelaksanaan program ini pada tahun-tahun mendatang akan bergantung kepada bajet yang diperuntukkan oleh kerajaan.
“KSB 2024 telah memberi impak yang besar dalam merapatkan jurang pendidikan STEM antara kawasan bandar dan luar bandar. Kami berharap program ini dapat diteruskan pada tahun hadapan, namun ia sangat bergantung kepada peruntukan kewangan yang diterima,” katanya.
Program KSB 2024 telah menerima sambutan positif daripada para pelajar dan guru di kawasan yang terlibat, dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran sains, bengkel teknologi, dan demonstrasi robotik.
Beliau juga turut menegaskan komitmen Kementerian dalam memastikan pendidikan STEM terus diberi penekanan, selaras dengan usaha negara untuk melahirkan lebih ramai bakat dalam bidang sains dan teknologi. Sehingga 6 September 2024, seramai 27,000 pengunjung terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah telah menyertai KSB 2024.
KSB 2024 telah menjelajah ke sepuluh (10) daerah di Sabah bermula di Lahad Datu melalui Kinabatangan dan Ranau dan berakhir di Kota Kinabalu. Selepas itu, KSB 2024 meneruskan pengembaraan ke lima (5) buah daerah di Sarawak bermula di Miri dan berakhir di Kuching. Pengembaraan ini melibatkan lebih 20 sekolah terpilih dan beberapa sekolah lain sebagai lokasi persinggahan dengan anggaran peserta yang menerima manfaat adalah seramai 35,000 orang.
Melalui program ini, PSN akan melaksanakan pelbagai aktiviti interaktif yang menarik berkonsepkan Hands On, Minds On, Hearts On selaras dengan usaha memperkenalkan pembelajaran sains bukan formal kepada masyarakat.
KSB 2024 dianjurkan secara bersama oleh PSN, MOSTI dengan kerjasama padu mendapat rakan-rakan strategik yang terdiri daripada agensi Kerajaan dan swasta serta rakan penaja utama program, iaitu Hibiscus Petroleum Berhad. Kerjasama strategik antara Pusat Sains Negara dan Hibiscus Petroleum Berhad mencerminkan dedikasi dan komitmen sektor swasta dalam menyokong inisiatif kerajaan untuk menyemarakkan pembudayaan sains, teknologi, dan inovasi (STI) dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Turut hadir, Puan Ruziah Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan & Pembudayaan Sains) MOSTI, Encik Ahli Chikba, Pegawai Pendidikan Daerah Sibu, Encik Abdullah Daud, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembudayaan & Perkhidmatan STI, MOSTI.
Skip to content