28 September 2024, Melaka – Dalam usaha menyemarakkan lagi kesedaran Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dikalangan masyarakat, Jabatan Kimia Malasyia (KIMIA Malaysia) telah melaksanakan Program KIMIA Ke Desa 2024 yang telah berlangsung dengan jayanya di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Selandar, Jasin, Melaka. Program ini bertujuan untuk mendekati masyarakat luar bandar dan memperluaskan pengetahuan tentang STI di kalangan komuniti.
Program ini dirasmikan oleh YBrs. Puan Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan) MOSTI yang mewakili Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Hadir sama YB Datuk Fairul Nizam bin Roslan, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Melaka.
Program KIMIA Ke Desa yang bermula sejak tahun 2013, kembali diadakan di Melaka tahun ini dan menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti ceramah, pameran interaktif, dan pertandingan STEM. Penganjuran kali ini dilakukan oleh Jabatan Kimia Malaysia Negeri Melaka (KIMIA Melaka), dengan memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali lebih dekat fungsi KIMIA Malaysia dan agensi di bawah MOSTI.
Kerajaan Negeri Melaka juga turut memainkan peranan penting dalam memastikan program ini berjalan lancar dengan sokongan penuh daripada Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Melaka.