Skip to main content
Berita

Program MTDC Road2Growth 2022 Tingkatkan Penggunaan Teknologi Tempatan Industri 4.0

By 2022-12-21Januari 6th, 2023No Comments

15 November 2022, Serdang – Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim hari ini merasmikan program MTDC Road2Growth Zon Tengah di Pusat Teknologi UPM-MTDC Serdang.

Program anjuran Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), agensi di bawah MOSTI, merupakan yang keenam dan terakhir dalam siri jelajah MTDC Road2Growth 2022 selepas Sabah, Sarawak, Johor, Pulau Pinang dan Pahang. Siri jelajah ini merupakan Signature Program MTDC di mana objektif utamanya adalah untuk memperkenalkan produk, perkhidmatan serta teknologi tempatan dengan memberi penekanan kepada Industri 4.0 (i4.0) dan pendigitalan.

Program MTDC Road2Growth berperanan memastikan graduan, penyelidik dan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tidak ketinggalan dalam menerima manfaat serta bimbingan daripada program-program yang disediakan khususnya dalam Industri 4.0 (i4.0) dan pendigitalan. Para peserta turut didedahkan dengan cara mengadaptasi penggunaan teknologi dalam perniagaan mereka.

Dalam ucapan perasmiannya, YBhg. Datuk Ts Dr. Aminuddin bin Hashim menekankan bahawa matlamat untuk menjadi negara berteknologi tinggi memerlukan kerjasama daripada semua pihak dan merangkumi keseluruhan rantaian nilai khususnya para graduan yang merupakan tonggak negara.

“Mereka (para graduan) harus melengkapi diri dengan ilmu pengetahuan mengikut kepesatan perubahan teknologi. Globalisasi dan i4.0 akan mengubah masa hadapan pekerjaan disebabkan banyak pekerjaan yang sedia ada tidak lagi akan wujud. Justeru, graduan perlu kritis dan inovatif bagi mendepani i4.0,” katanya.

Pada program MTDC Road2Growth Zon Tengah ini, MTDC bersama-sama syarikat ekosistemnya yang terdiri daripada rakan niaga Co9P dan syarikat penerima dana Inovasi Sandbox Teknologi Nasional (NTIS) turut mengadakan Pameran Solusi i4.0 di Experience Hub. Pameran berbentuk i4.0 ini mengetengahkan teknologi robotik, automasi, pencetakan 3D, realiti perantaraan, pertanian pintar dan teknologi dron.

Para peserta turut berpeluang mendengar penerangan dan mendapatkan maklumat secara terus sepanjang program ini seperti ‘Landskap Modal Teroka di Malaysia’, ‘Cabaran Pembiayaan Dalam Kalangan Syarikat Berteknologi’, ‘Kenapa Anda Perlu Menjadi Rakan Co9P?’, ‘Meningkatkan Skala Perniagaan Syarikat’ dan ‘Hari Terbuka Kerjaya’.

Ketua Eksekutif MTDC, YBhg. Dato’ Norhalim Yunus berkata acara tahunan ini adalah sebuah platform bagi usahawan dan graduan untuk mendapat informasi mengenai perkhidmatan yang ditawarkan oleh MTDC dan memperkenalkan syarikat ekosistemnya. Peserta dapat bersemuka dengan MTDC untuk mendapat khidmat nasihat perniagaan, mencari peluang-peluang perniagaan dan kerjasama baharu dengan pihak industri yang memberikan bimbingan dalam mengadaptasikan teknologi terutama berkaitan industri 4.0 dalam perniagaan mereka.

Penggunaan teknologi sudah terbukti meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos, menambah pendapatan syarikat serta meningkatkan asas pelanggan dan berjaya berhadapan dengan persaingan. Kerjasama yang terjalin antara MTDC dengan usahawan, penyelidik, para akademia dan agensi kerajaan dapat membantu usahawan untuk menaik taraf perniagaan mereka melalui solusi dan inovasi teknologi tempatan.

 

DSC 4358               DSC 4305

DSC 4288               DSC 4420

Skip to content