Skip to main content
BeritaArkibSiaran/Kenyataan Media

“PROGRAM PENCERAPAN GERHANA BULAN PENUH & PENCERAPAN PLANET MARIKH” PADA 27 DAN 28 JULAI 2018 DI PLANETARIUM NEGARA

By 2018-07-18Oktober 2nd, 2021No Comments

SIARAN MEDIA

PLANETARIUM NEGARA

KEMENTERIAN TENAGA, TEKNOLOGI, SAINS, PERUBAHAN IKLIM DAN ALAM SEKITAR

__________________________________________________________

 “PROGRAM PENCERAPAN GERHANA BULAN PENUH &

PENCERAPAN PLANET MARIKH”

PADA 27  DAN 28 JULAI 2018

DI PLANETARIUM NEGARA

__________________________________________________________

 

18 JULAI 2018, KUALA LUMPUR – Bersempena Fenomena Gerhana Bulan Penuh,  Planetarium Negara akan melaksanakan Pencerapan Gerhana Bulan Penuh  pada 28 Julai 2018 mulai jam 1:00 pagi sehingga jam 7:00 pagi  di hadapan pintu masuk Planetarium Negara.

Pada malam tersebut juga iaitu bermula jam 9:00 malam hingga 11:30 malam dan masih bertarikh 27 Julai 2018, Planetarium Negara akan mengadakan Program Pencerapan Planet Marikh kerana pada ketika itu, planet Marikh akan berada sangat hampir dengan Bumi iaitu kira-kira 57.59 juta kilometer sahaja dari Bumi.

Pengunjung-pengunjung akan berpeluang menggunakan beberapa buah teleskop bagi menyaksikan fenomena gerhana dan juga planet Marikh yang disediakan oleh Planetarium Negara. Beberapa buah teleskop dari Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Kelab-Kelab Falak dan Persatuan Starfinder dan Stargazer Kuala Lumpur dan Selangor juga dipasang di perkarangan pintu masuk Planetrium Negara.

Terdapat juga aktiviti taklimat dan penerangan mengenai gerhana, panduan dan aktiviti astro-fotografi serta sesi solat gerhana pada pagi tersebut. Aturcara program adalah seperti di LAMPIRAN.

Program Pencerapan Gerhana Bulan Penuh dan Pencerapan Planet Marikh ini terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira had umur dan orang ramai juga boleh menyaksikan fenomena gerhana tersebut dan juga planet Marikh dari mana-mana sahaja lokasi di seluruh negara asalkan pandangan kita ke arah Bulan pada malam 27 Julai 2018 dan awal pagi 28 Julai 2018 tersebut tidak terhalang oleh sebarang objek.

Kenampakan fenomena gerhana Bulan penuh dan planet Marikh pada kali ini juga adalah amat bergantung kepada cuaca yang mengizinkan. Orang ramai diminta agar tidak melepaskan peluang untuk menyertai Program Pencerapan Planet Marikh mulai jam 9:00 malam hingga 11:30 malam 27 Julai 2018 dan Program Pencerapan Gerhana Bulan Penuh mulai jam 1:00 pagi sehingga 7:00 pagi 28 Julai 2018 di Planetarium Negara.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Planetarium Negara di talian 03-22735484 atau email info@planet.gov.my atau melayari laman sesawang Planetarium Negara di www.planetariumnegara.gov.my atau Facebook Planetarium Negara.

Planetarium Negara
Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains,
Perubahan Iklim dan Alam Sekitar

 


 LATAR BELAKANG & NOTA TAMBAHAN:

  1. Fenomena Gerhana Bulan Penuh, akan disaksikan oleh seluruh penduduk Malaysia pada Sabtu, 28 Julai 2018 ini.
  2. Gerhana ini akan bermula daripada  jam 2:24 pagi hingga jam 06:19 pagi iaitu pada awal pagi hari Sabtu 28 Julai 2018 apabila Bulan terlindung oleh bayang-bayang “umbra”  Fasa Gerhana Penuh pula akan bermula dari jam 3:30 pagi sehingga kemuncaknya pada jam 4:21 pagi dan tamat pada jam 5:13 pagi.
  3. Ini merupakan gerhana bulan penuh kali kedua bagi tahun 2018 di Malaysia selepas fenomena “Super Blue Blood-Moon” pada 31 Januari 2018 yang lalu.
  4. Pada 9:00 malam hingga 11:30 malam dan masih bertarikh 27 Julai 2018, Planet Marikh akan kelihatan lebih terang dari biasa dan ketika itu juga merupakan waktu yang amat sesuai  untuk melihat permukaan planet tersebut dengan lebih jelas.
  5. Jarak paling dekat yang boleh dicapai di antara Marikh dengan Bumi adalah 54.6 juta kilometer. Pada 27 Ogos 2003 planet Marikh telah menghampiri Bumi pada jarak 55.8 juta km yang pernah dicapai kira-kira 60,000 tahun sebelum itu dan akan dicapai semula pada 28 Ogos 2287 iaitu 269 tahun dari sekarang!
Skip to content