Skip to main content
Berita

Projek Pembangunan Jeti Terapung Biokomposit

13 Jun 2022, Semporna – YBhg. Datuk Zainal Abidin bin Abu Hassan, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan diiringi oleh YBrs. Dr. Abdul Rahim bin Harun, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia serta beberapa pegawai dari Nuklear Malaysia telah mengadakan Lawatan Kerja Rasmi ke Projek Pembangunan Jeti Terapung Biokomposit bagi kegunaan operasi dan logistik Angkatan Tentera Malaysia di Pengkalan Laut Tun Sharifah Rodziah, Semporna, Sabah. Delegasi ini telah disambut oleh Timbalan Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Pertama Hj Jamaluddin bin Hj Sairi dan Leftenan Komander, Anis bin Abdul Khakim.

Projek ini merupakan salah satu pembangunan struktur jeti terapung biokomposit untuk ujian penerimaan penggunaan oleh pihak ATM bagi operasi dan logistik ATM dengan tujuan menggantikan penggunaan jeti kayu. Secara teknikalnya jeti terapung biokomposit ini adalah lebih kukuh dan stabil berbanding jetfloat dari segi ketahanan bahan dan rekabentuk.

Antara teknologi yang diperkenalkan adalah penggunaan bahan RX-HDPE bagi komponen floater yang menggunakan teknologi taut-silang sinaran yang merupakan salah satu teras teknologi yang dibangunkan oleh Agensi Nuklear Malaysia dibawah MOSTI. Rekabentuk unik integrasi floater dengan kerangka luaran dan pelantar biokomposit ini menjadikan struktur terapung lebih kukuh dan stabil terhadap pengunaannya.

Pembangunan jeti terapung biokomposit ini juga bertujuan untuk mengurangkan kos dan kebergantungan kepada import barangan dari luar negara seperti China, Norway, Austria dan lain-lain. Teknologi pengilangan dan pemasangan jeti terapung biokomposit ini telah dibangunkan sepenuhnya oleh MOSTI melalui Agensi Nuklear Malaysia. Kini, kapasiti pengeluaran telah mencapai tahap pengilangan penuh. Jelas, teknologi ini telah sedia untuk memenuhi keperluan ATM dalam masa terdekat.

Selain itu, para delegasi ini juga telah melawat ke:
i. Projek Seaplast : Sustainable Eco-Remediation Via Aquatic Plastic Waste Recovery yang merupakan salah satu projek Pembangunan Sistem Perangkap Sisa Plastik Akuatik dan juga proses kitaran semula plastik bagi membangunkan produk tiles dan panel. Bagi projek ini, komuniti yang terlibat adalah dari Kampung Terusan Tanduk, Pulau Bum Bum, Semporna.

ii. Projek Bagang Bilis Jeti Terapung Biokomposit yang dibangunkan dengan inisiatif pihak komuniti Kampung Tanjung Kapor, Semporna dengan menggunakan 4 modul asal jeti terapung biokomposit melalui projek MOSTI Social Innovation pada tahun 2017 hasil kerjasama Agensi Nuklear Malaysia dan Yayasan Inovasi Malaysia.

Skip to content