PUTRAJAYA -Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Pusat Sains Negara (PSN) hari ini telah melancarkan PSN TROOPERZ yang merupakan sebuah pasukan bagi program jangkau luar (outreach) yang menjelajah ke seluruh Malaysia bagi menyemarakkan lagi pembudayaan sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan masyarakat.
“PSN TROOPERZ adalah lambang komitmen kementerian dan agensi ini untuk membudayakan sains dan teknologi dengan menggunakan pendekatan yang mudah dan menyeronokkan bagi mencapai hasrat menarik minat masyarakat terhadap bidang sains dan teknologi”, kata YB Datuk Dr. Ewon Ebin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi semasa melancarkan program ini.
Menerusi PSN TROOPERZ, pelbagai program telah diatur seperti program komuniti, program pelajar, program pendidik, program golongan kurang upaya, program orang asli dan program bersifat pertandingan yang berteraskan Science, Technology, Engineering, Art dan Mathematic (STEAM) yang akan menjelajah ke seluruh negara.
PSN TROOPERZ juga mendapat kerjasama rakan strategik dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Cetree Universiti Sains Malaysia (USM) serta rakan swasta seperti Planetarium Melaka, Petrosains, SASBADI Sdn. Bhd., Sintok Robo Sdn. Bhd. dan MyRobot Sdn. Bhd.
Penjelajahan ini juga dianjurkan bersempena dengan penutupan sementara PSN. Penutupan itu telah bermula pada 20 Mac 2015 dan bakal berwajah baru menjelang November 2016. Penutupan ini adalah bertujuan untuk menjalankan kerja-kerja naiktaraf bangunan PSN bagi memberi keselesaan dan keseronokan berganda kepada pengunjung kelak.