7 November 2024, Kuala Lumpur – YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini merasmikan Prgram Road2Growth 2024 Wilayah Tengah (R2G 2024 Central). Dianjurkan oleh Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), sebuah agensi di bawah MOSTI yang memfokuskan kepada pelaburan strategik, pembangunan kapasiti, dan khidmat nasihat kepada PKS, acara ini menghimpunkan lebih 800 peserta berdaftar dan 50 pameran mewakili penggubal dasar, teknousahawan, dan pakar industri, untuk meneroka peranan inovasi, teknologi maju, dan keusahawanan dalam memacu pertumbuhan mampan di Malaysia.
Tema acara tahun ini, “Memanfaatkan Teknologi 4IR Ke Arah Pertumbuhan Mampan”, membuka ruang untuk perbincangan dan kerjasama yang mendalam, menekankan kepentingan penerapan teknologi 4IR seperti Kecerdasan Buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT), robotik, dan automasi dalam mentransformasikan industri, meningkatkan produktiviti, dan mendorong transformasi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi yang dipacu oleh teknologi.
R2G 2024 Central turut menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan, akademia, dan industri. Sesi Forum seperti “Pelaburan Teknologi Mampan: Mengimbangi Keuntungan dan Kesejahteraan Alam Sekitar” serta “Kerjasama Ekosistem: Mendorong Inovasi Kolaboratif dalam 4IR” adalah antara platform untuk para pemimpin membincangkan masa depan pelaburan teknologi dan bagaimana kerjasama dapat memacu transformasi Malaysia menjadi peneraju teknologi di peringkat global.
R2G 2024 Central disokong oleh PointStar Malaysia sebagai Penaja Emas, bersama WISE Ai, Vepro Group Sdn Bhd, dan Micron Concept Aerostructures Sdn Bhd sebagai Penaja Perak.