Skip to main content
Berita

SAMBUTAN 20 TAHUN MASTIC

By 2012-11-29Mac 10th, 2017No Comments

 

PUTRAJAYA  29 November 2012 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini telah mengadakan majlis sambutan 20 tahun penubuhan Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC).  Majlis yang disempurnakan oleh YB Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut dihadiri oleh jemputan dari pelbagai Agensi Kerajaan, Institusi Pengajian Tinggi, Syarikat Swasta dan Badan-badan Bukan Kerajaan. Majlis ini diadakan bagi meraikan dan memperingati pencapaian MASTIC sepanjang tempoh 20 tahun penubuhannya bersama pengguna, pembekal data dan stakeholder lain yang berkepentingan.
MASTIC yang telah ditubuhkan pada 1 Disember 1992 berperanan sebagai pusat rujukan rasmi maklumat strategik Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) negara.  Antara aktiviti utama MASTIC ialah membangunkan petunjuk STI kebangsaan, memperkaya kandungan pangkalan data STI dan menyampaikan maklumat strategik STI kepada stakeholder merangkumi agensi Kerajaan, institusi pengajian tinggi, institut penyelidikan, sektor perniagaan dan komuniti STI. Data dan statistik yang dikeluarkan oleh MASTIC digunakan sebagai input penggubalan dasar STI, input pelaporan daya saing negara di peringkat global dan bahan rujukan golongan akademia.
Selain meraikan 20 tahun penubuhan MASTIC, satu forum bertajuk TransforMASTIC telah diadakan pada sebelah pagi bertujuan mendapatkan idea dan pandangan stakeholder MASTIC ke arah “mentransformasikan MASTIC menjadi Pusat Maklumat STI Negara yang berprestij dan terunggul”.  Forum tersebut dihadiri oleh lebih 50 pakar daripada pelbagai bidang STI seluruh negara.  Hasil penemuan forum telah dibentangkan dalam majlis sambutan 20 MASTIC yang antara lain mengetengahkan pandangan peserta terhadap strategi pencapaian yang selari dengan aspirasi kerajaan berkaitan fungsi MASTIC untuk tempoh 10 tahun akan datang.
Skip to content